PUTRAJAYA: Satu sindiket terbesar yang terlibat dalam pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu sehingga menyebabkan kerugian kepada hasil kerajaan dalam bentuk levi pekerja asing mencecah ratusan juta ringgit tumpas.
Menerusi operasi yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu, lima orang termasuk ketua sindiket yang bergelar Datuk telah ditahan dalam operasi besar-besaran di 22 lokasi sekitar Kuala Lumpur sejak awal pagi ini.
Menurut sumber kepada Utusan Malaysia, kesemua mereka berusia antara 33 hingga 43 tahun telah ditahan hasil risikan yang dijalankan oleh SPRM dan Jabatan Imigresen sejak setahun yang lalu.
Kata beliau, sindiket dengan kerjasama ‘orang dalam’ telah berjaya menggodam pangkalan data imigresen dengan memasang transmitter untuk membolehkan anggota sindiket untuk menukar kata laluan pegawai imigresen dan seterusnya mencetak PLKS dari pusat operasi mereka di luar pejabat imigresen.
“Ini merupakan suatu pencerobohan ke dalam pangkalan data agensi kerajaan dan merupakan isu kebocoran keselamatan yang sangat serius. Keupayaan ahli-ahli sindiket menggodam sistem komputer imigresen membolehkan mereka mencetak PLKS dan menjualnya kepada warga asing yang bekerja secara haram di negara ini.
“Dianggarkan ratusan ribu PLKS palsu telah dicetak oleh sindiket ini dengan bayaran antara RM6,000 – RM8,000 bagi setiap PLKS,” kata sumber itu.
Mengulas lanjut, sumber berkata, isu ini pernah dibangkitkan dalam Laporan Audit dan dibincangkan di Parlimen mengenai ketirisan hasil kerajaan dan kebocoran sistem keselamatan negara.
Jelasnya, modus operandi sindiket ialah menggodam sistem imigresen dengan memasang transmitter di bilik komputer imigresen hasil kerjasama orang dalam.
Sindiket ini berupaya menggodam, menukar dan menggunakan kata laluan pegawai-pegawai imigresen untuk memasukkan nama-nama serta butiran peribadi pekerja asing seolah-olah mereka mendapatkan PLKS secara sah.
“Walhal ia hasil tindakan penggodaman sistem Jabatan Imigresen.
“Yang lebih menggerunkan di mana sindiket ini juga berupaya membuka dan menutup semula status ‘senarai hitam’ atau ‘red alert’ seseorang individu untuk membolehkan beliau melepasi sekatan imigresen di lapangan terbang dengan bayaran tertentu,” jelasnya.
Tambah sumber, kesemua operasi dilakukan di luar pejabat imigresen menggunakan transmitter dan sistem yang diklonkan dari pangkalan data imigresen.
“Hasil serbuan semalam berjaya merampas peralatan komputer termasuk dua sistem komputer klon dan transmitter yang digunakan sindiket ini.
“Sindiket ini dipercayai sedang beroperasi di salah sebuah hotel terkemuka di Jalan Sultan Ismail. Mereka sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain termasuk hotel-hotel mewah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Dalam pada itu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut.