KUALA PILAH: Lembaga Getah Malaysia diarah melakukan proses ‘pemutihan’ bagi mengenal pasti jumlah sebenar pekebun kecil getah yang aktif di negara ini.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, langkah itu perlu diambil selepas dianggarkan hanya 110,000 daripada kira-kira 500,000 pekebun kecil membuat tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG).
“Memandangkan mereka yang menuntut sekitar 110,000 sahaja, maka saya buat satu jangkaan bahawa ramai yang tidak menoreh getah.
“Maka saya arahkan LGM buat pemutihan terhadap angka sebenar pekebun kecil getah yang masih lagi aktif untuk kita lihat apa yang boleh kita bantu dan selesaikan masalah kenapa mereka tidak terlibat dalam tuntutan sedangkan mereka mempunyai kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Kepada Golongan B40 Pekebun Kecil Getah, di sini hari ini.
Ketika berucap pada majlis tersebut, Mohd. Khairuddin berkata, jika pekebun kecil tidak menoreh getah dan tidak mengusahakan kebun mereka, ia adalah satu kerugian buat negara.
“(Pekebun kecil) yang buat tuntutan hanya sekitar 110,000 ke 120,000 orang sahaja, ke mana perginya pekebun kecil yang angkanya 500,000 orang? Adakah mereka tidak buat tuntutan? pelik kerana kalau melibatkan duit ini jarang orang tak buat.
“Saya lebih yakin, ramai yang tidak menoreh sebab harga getah rendah jadi mereka tidak menoreh. Apabila tidak menoreh, itu satu kerugian besar bagi negara terutama pada penggunaan tanah tersebut, kebun ada tapi tidak menoreh, hasil tidak keluar, rugi,” katanya lagi.
Menurut beliau lagi, sekiranya kesukaran untuk mengisi borang tuntutan secara manual bagi menuntut IPG tersebut menjadi halangan, pihak kementerian telahpun menggunakan aplikasi RRIMniaga bagi tujuan berkenaan.
“Bermula 1 Januari lalu, kementerian mewajibkan kepada para pembeli getah berlesen mesti menggunakan aplikasi RRIMniaga. Pembeli getah mesti meletakkan nama penjual yang mempunyai kad PAT-G ke dalam sistem itu.
“Semua maklumat tersebut termasuk urusan jual beli akan masuk ke dalam sistem LGM yang kemudian akan menyalurkan IPG terus kepada pekebun kecil tanpa perlu pekebun-pekebun kecil tersebut mengisi borang,” katanya. – UTUSAN ONLINE