Lelaki tukar pengakuan tidak bersalah dera bayi tujuh bulan - Utusan Malaysia

Lelaki tukar pengakuan tidak bersalah dera bayi tujuh bulan

MUHAMMAD Fakhri Abdul Muthalib menukar pengakuan kepada tidak bersalah atas pertuduhan mendera seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan di Mahkamah Sesyen di Butterworth, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Penganggur menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan mendera bayi lelaki berusia tujuh bulan pada bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Fakhri Abdul Muthalib, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan semula terhadapnya di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Terdahulu, pada 16 Mac lalu, dia mengaku bersalah di mahkamah sama dan dibenar diikat jamin sebanyak RM10,000 sementara menunggu laporan perubatan mangsa bagi prosiding menjatuhkan hukuman.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Fakhri sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan telah menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan lebam pada dahi, bawah mata dan perut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di L-07-07, Pangsapuri Luminari, Jalan Harbour Place, Butterworth di sini kira-kira pukul 9 malam pada 6 Mac lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-dua sekali jika didapati bersalah.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Syeqal Che Murat, manakala tertuduh diwakili peguam Y. Anbananthan.

Kes akan disebut semula pada 27 Mei ini bagi serahan dokumen dan laporan perubatan mangsa.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang wanita berusia 25 tahun dan teman lelakinya yang tinggal bersama di sebuah pangsapuri di sini ditahan polis selepas menerima laporan terdapat kesan kecederaan lebam pada bayi berusia tujuh bulan ketika berada dalam jagaan mereka.

Kejadian itu disedari suami wanita berkenaan yang tidak tinggal bersama yang mendapati kesan lebam pada tersebut selepas diserahkan oleh isterinya untuk dijaga.

Bagaimanapun, wanita berkenaan cuba menyembunyikan kejadian dera tersebut apabila mendakwa bayi lelakinya itu cedera akibat terjatuh buaian. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya