KEMAMAN: Seorang lelaki yang dipenuhi lumpur seluruh badan dijumpai terbaring tidak bermaya dengan hanya memakai seluar dalam di kawasan paya bakau di Kampung Enjin Gergaji, di sini semalam.
Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Azman Alias berkata, mangsa yang dipercayai dalam lingkungan 20-an itu ditemukan seorang pemancing udang di lokasi kira-kira 50 meter dari jalan.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemaman bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.46 pagi.
“Mangsa dijumpai lemah dan bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkannya dari dalam lumpur dengan menggunakan pengusung dan tali.
“Keadaan lumpur yang tebal turut menyukarkan kerja-kerja menyelamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azman berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk rawatan dan kes kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp video berdurasi 38 saat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan terbaring dan lemah manakala seluruh badannya dipenuhi lumpur. -UTUSAN ONLINE