Lelaki Melayu dijaga keluarga Cina seperti saudara sendiri - Utusan Malaysia

Lelaki Melayu dijaga keluarga Cina seperti saudara sendiri

HASHIM Rejab (kanan) membelek foto lama ditemani Ah Hua di rumahnya di Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Perbezaan dari segi agama dan budaya tidak pernah menjadi penghalang kepada sebuah keluarga kaum Cina untuk menyayangi seorang warga emas berketurunan Melayu walaupun mereka tidak mempunyai sebarang pertalian darah.

Lebih menarik, ikatan kasih sayang itu bertahan selama hampir lima dekad lalu dan masih berkekalan hingga ke hari ini.

Walaupun tinggal bersendirian bersebelahan dengan rumah keluarga Cina terbabit, warga emas berkenaan, Hashim Rejab, 88, sebenarnya tidak pernah berasa kesunyian dan terabai dari segi kebajikan.

Ini kerana keempat-empat anak kepada Oei Ah Sin, 84, iaitu isteri kepada rakan baiknya yang berbangsa Cina sejak remaja itu menganggap Hashim yang dipanggil ‘pak cik’ lebih daripada ayah mereka sendiri.

Keakraban Hashim dengan anak kepada rakan baiknya itu terutama si bongsu, Liang Kok Hua atau Ah Hua, 43, masih utuh.

Bahkan hampir saban hari Ah Hua menjenguk lelaki tua itu untuk bertanyakan perihal dirinya selain menjaga makan minum lelaki berkenaan yang kini menghadapi masalah untuk bergerak akibat keuzuran.

Kata Hashim, anak-anak Ah Sin memang rapat dengannya sejak kecil dan selalu datang tidur serta bermain di rumahnya.

Malah katanya, kebanyakan barang mainan mereka khususnya yang dimiliki oleh Ah Hua masih tersimpan rapi dalam almari rumahnya walaupun ada antara barangan tersebut telah mencecah usia hampir empat dekad!

“Saya anggap mereka seperti anak-anak sendiri dan masih ingat betapa cemasnya semasa mereka jatuh pokok dan telaga ketika bermain di rumah saya dahulu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Dua, di sini semalam.

Sehingga kini, bukan sahaja anak-anak Ah Sin rapat dengan Hashim, malah 11 cucu serta 10 orang cicitnya juga selalu berkunjung ke rumah Hashim untuk menemani lelaki tersebut termasuk ketika musim perayaan.

Difahamkan, selain dibantu oleh keluarga Ah Sin dalam menjalani kehidupan sehariannya, Hashim juga menerima bantuan sebanyak RM500 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya