PARIT BUNTAR: Gara-gara mahu menunjuk lagak menggunakan pistol, seorang lelaki terlepas tembakan dan mencederakan rakannya dalam kejadian di tepi sungai dekat Jalan Swee Lee, Kuala Kurau, di sini semalam.
Kejadian itu mengakibatkan mangsa berusia 23 tahun cedera pada bahagian perut sebelah kiri dan dirawat di Hospital Parit Buntar.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, polis menerima panggilan dari Unit Kecemasan Hospital Parit Buntar berhubung kejadian itu pada pukul 6.30 petang.
Menurut beliau, kejadian berlaku ketika lelaki yang bekerja sebagai pengawal peribadi di sebuah syarikat keselamatan di Kuala Lumpur itu sedang minum minuman keras bersama mangsa dan dua lelaki lain.
Katanya, siasatan ke atas lelaki itu mengaku mengeluarkan pistol miliknya dengan niat hendak menunjuk-nunjuk kepada mangsa.
“Lelaki terbabit mengeluarkan magazine pistol tanpa menyedari masih terdapat sebutir peluru di dalam chamber di mana dia telah menarik picu senjata api itu lalu meletup dan terkena mangsa yang berada di hadapannya.
“Mangsa yang ketika itu berdiri pada jarak satu meter terjatuh serta-merta dalam keadaan berlumuran darah,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, bagi menyembunyikan kejadian tersebut, lelaki berusia 33 tahun itu telah melepaskan tembakan di dalam beg sandang miliknya dengan niat untuk mereka-reka cerita bahawa pistol itu meletup dengan sendirinya.
Katanya, berdasarkan temu bual dengan mangsa, dia mengenali lelaki itu sejak dua tahun lalu dan kehadirannya ke daerah berkenaan untuk upacara sembahyang genap setahun kematian rakannya.
“Ekoran kejadian itu, polis merampas beg sandang berwarna hitam, sepucuk pistol jenis CZ 75 bersama magazine berisi lapan butir peluru jenis 9mm, sarung pistol, kelongsong tertera tulisan 9mm dan pakaian dipakai suspek.
“Lelaki terbabit ditahan bersama dua rakannya berusia 37 dan 48 tahun untuk siasatan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960,” katanya.
Tambahnya, mangsa yang cedera dilaporkan dalam keadaan stabil. – UTUSAN ONLINE