Lelaki cedera pada perut ditikam dengan pisau lipat - Utusan Malaysia

Lelaki cedera pada perut ditikam dengan pisau lipat

SOFFIAN SANTONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seorang pemuda mengalami kecederaan pada bahagian kiri perut akibat ditikam dengan sebilah pisau lipat dalam kejadian pergaduhan di lobi sebuah kondominium di Jalan Pangkor, di sini awal pagi tadi.

Lelaki berusia 25 tahun itu dikatakan bertindak menghubungi pasukan polis bagi memaklumkan kecederaannya kira-kira pukul 4.58 pagi.

Pergaduhan melibatkan empat lelaki daripada dua kumpulan termasuk satu pasangan adik beradik itu turut menyebabkan seorang lagi daripada mereka cedera di kepala akibat dipukul dengan topi keledar.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini berkata, susulan kejadian itu, pihaknya menahan keempat-empat lelaki tersebut termasuk dua daripadanya kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Menurutnya, hasil soal siasat ke atas seorang saksi wanita berusia 29 tahun yang juga kenalan suspek terbabit mengatakan punca kejadian adalah disebabkan hutang.

“Saksi mengatakan salah seorang suspek meminjam duit daripadanya sebanyak RM800 dan dia telah menghubungi lelaki itu untuk meminta semula wang tersebut.

“Bagaimanapun, suspek (peminjam) bersama seorang lagi lelaki (pasangan adik beradik) datang mencari saksi di tempat kejadian lalu sebelum berlaku pergaduhan antara tunangnya dengan seorang lagi kenalan mereka,” katanya.

Soffian memberitahu, kedua-dua suspek yang cedera kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan ditahan di wad HPP untuk rawatan lanjut.

“Siasatan polis di tempat kejadian juga turut menemukan sebilah pisau lipat berukuran lima sentimeter selain turut merampas topi keledar yang dipercayai digunakan dalam kejadian pergaduhan itu.

“Suspek yang masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah itu akan direman pagi esok,” ujarnya yang menambah, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya