Lebih 26,000 metrik tan benih padi untuk pesawah - Jabatan Pertanian - Utusan Malaysia

Lebih 26,000 metrik tan benih padi untuk pesawah – Jabatan Pertanian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Pertanian mengumumkan pihaknya mencatatkan sebanyak 26,353.32 metrik tan benih padi setakat 19 April lalu.

Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Mohd. Nasir Warris berkata, kuantiti itu adalah mencukupi bagi keperluan pesawah seluruh negara sehingga akhir bulan ini, termasuk keperluan pesawah padi di Negeri Kedah dan Perlis.

Justeru, beliau memberi jaminan bahawa benih padi yang disahkan mengikut kualiti piawaian yang ditetapkan bagi menjamin pesawah mendapat bekalan benih padi yang berkualiti.

“Pengesahan benih padi sedang rancak dijalankan oleh pegawai-pegawai di Jabatan Pertanian dan kuantiti benih padi yang akan disahkan pada musim penanaman 1/2021 ini dijangka melebihi daripada 36,000 tan metrik.

“Ia melebihi daripada keperluan pada musim sekarang. Oleh yang demikian, pesawah adalah dinasihatkan supaya tidak perlu risau tentang kecukupan bekalan benih padi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau bagaimanapun mengakui terdapat jenis benih padi yang tidak mencukupi iaitu varieti MR 297 kerana permintaan yang tinggi.

“Namun begitu, terdapat juga varieti lain yang setanding varieti MR 297. Jabatan Pertanian telah meluluskan sebanyak sembilan lagi varieti benih padi lain iaitu MR 219, MR 220 CL2, UKMRC-2, UKMRC-8, MR 269, MR 303, MR 307, MRQ76 dan MR 263.

“Oleh itu, diharapkan pesawah dapat memilih dan bersedia untuk menanam varieti lain selain MR 297, yang mampu memberi hasil yang tinggi,” katanya.

Pada masa sama, Mohd. Nasir menasihati pesawah supaya tidak membeli benih padi yang tidak mendapat pengesahan daripada Jabatan Pertanian atau dikenali sebagai ‘Beg Putih’.

“Penggunaan ‘Beg Putih’ ini dikhuatiri boleh menyebabkan berlakunya isu berkaitan masalah padi angin, penyakit dan perosak yang boleh menjejaskan kualiti serta industri padi negara,” katanya. – UTUSAN 0NLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN