PASIR MAS: Tiga lelaki nekad meninggalkan 61 kilogram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM2.19 juta selepas diserbu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sebuah pangkalan haram dekat Pos Sega, Rantau Panjang semalam.
Dalam serbuan pukul 8.45 malam itu, ATM turut merampas sebuah Toyota Vellfire bernilai RM150,000.
Panglima Briged Kelapan Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Abu Hasan Assha’ari Kamis berkata, rampasan dilakukan Kumpulan Serang dan Tangkap (Serkap) ATM ketika rondaan penugasan Op Benteng sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Sungai Golok.
Menurutnya, semasa melakukan penugasan itu, anggota Serkap ATM melihat tiga lelaki bersama sebuah kenderaan mewah dalam keadaan mencurigakan berhampiran pangkalan haram tersebut.
“Menyedari kehadiran anggota ATM tiga lelaki berkenaan terus bertindak melarikan diri menyeberangi sungai golok di sebelah Thailand menggunakan bot,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini hari ini.
Abu Hasan Assha’ari memberitahu, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu membawa kepada penemuan guni yang mengandungi bungkusan teh yang didalamnya diisi dadah jenis syabu.
“Semua barang rampasan diserahkan kepada IPD Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Abu Hasan Assha’ari, siasatan awal mendapati kesemua dadah terbabit dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan. -UTUSAN ONLINE