PUTRAJAYA: Persatuan Peguam Muslim Malaysia menyarankan keahlian Dewan Negara dilantik dalam kalangan mereka yang tidak terlibat langsung dalam bidang politik kepartian.
Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar sebaliknya berkata, senator Dewan tinggi itu wajar dalam kalangan ilmuwan termasuk individu dihormati masyarakat atau pemimpin yang berwibawa.
“Ini termasuk tokoh masyarakat, badan bukan kerajaan serta alim ulama berbanding sekarang yang dikuasai pemimpin parti sesebuah negeri,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Terdapat dua Dewan yang menguruskan penggubalan undang-undang di peringkat legislatif Persekutuan yang ramai kemungkinan kurang sedar iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Begitu juga ujar beliau, tidak ramai tahu di peringkat negeri pula masing-masing ada Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Dewan Diraja dengan latar belakang keahlian amat berbeza.
Anggota DUN adalah kalangan yang dipilih berdasarkan populariti undi tetapi Dewan Diraja dilantik berdasarkan status penghormatan dalam masyarakat keilmuan dan jasanya.
“Namun, sejak akhir-akhir ini kedua-dua Dewan di peringkat Persekutuan tampak dimonopoli hanya oleh individu daripada kalangan parti siasah sahaja demi mencukupkan jumlahnya.
“Ia seolah menjadi wadah bagi meletakkan politikus yang tidak bertanding pada pilihan raya atau lantik mereka yang tewas pada pilihan raya,” katanya. – UTUSAN ONLINE