KUANTAN: Sebanyak 45 kompaun dikeluarkan kepada individu termasuk pemilik restoran di sekitar bandar raya ini dalam satu pemeriksaan malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komissioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, notis kompaun itu dikeluarkan berikutan kegagalan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Mereka yang terlibat melakukan kesalahan seperti tiada penjarakan fizikal antara pelanggan dan terdapat dua pelanggan tidak mengimbas kod bar MySejahtera ketika memasuki restoran berkenaan.
“Semua individu terbabit dikompaun di bawah kesalahan kategori ketiga Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana kesalahan tiada penjarakan fizikal dengan nilai kompaun antara RM1,500 ke RM2,000.
“Turut dikenakan kompaun penjaga premis atas kesalahan sama dengan nilai kompaun RM10,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Noor berkata, polis turut menyarankan agar pemilik restoran dan peniaga melaporkan kepada pihak berkuasa dengan kadar segera jika terdapat sekumpulan pelanggan yang melanggar SOP PKPP.
“Peniaga tidak perlu teragak-agak malah tindakan itu perlu dilakukan sekiranya teguran dan nasihat tidak dipedulikan oleh mereka (pelanggan).
“Bukan sekadar cakap (tegur) sahaja, sebaliknya peniaga perlu menghubungi pihak penguatkuasaan seperti polis atau pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memaklumkan keingkaran pelanggan.
“Tindakan itu adalah dialu-alukan terutama dalam membantu kita mengambil tindakan yang sepatutnya,” katanya.
Sementara itu beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu membabitkan pematuhan SOP kerana perkara berkenaan sudah menjadi kebiasaan baharu dalam kehidupan.
“Bagi mereka yang ingkar tindakan kompaun akan terus dilakukan dan kita akan mempergiatkan pemantauan pematuhan SOP dari semasa ke semasa. Kita mahu orang ramai patuh menjaga keselamatan diri, keluarga, kawan dan masyarakat. Jangan pentingkan diri sendiri kerana ia boleh memudaratkan diri dan org lain,” katanya.