Laluan Subang-Glenmarie ditutup ekoran kebocoran gas asli - Utusan Malaysia

Laluan Subang-Glenmarie ditutup ekoran kebocoran gas asli

BAHARUDDIN MAT TAIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM : Polis menutup sepenuhnya laluan dari arah Subang menghala ke Glenmarie bermula hari ini susulan kejadian kebocoran gas asli di lokasi pembinaan Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di Jalan Persiaran Kerjaya, Seksyen U1 di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, saluran paip berkenaan adalah saluran utama bagi membekal gas asli ke Kuala Lumpur dan kawasan sekitar.

Katanya, selepas perbincangan diadakan bersama pihak bomba, atas faktor keselamatan pengguna jalan raya dan kawasan berhampiran, pihak bomba menyarankan supaya menutup sepenuhnya laluan berkenaan.

“Untuk makluman, lokasi penutupan jalan ini merupakan penghubung laluan utama dari Subang menghala ke Glenmarie. Sekiranya penutupan penuh dijalankan, akan menyebabkan kesesakan teruk ke arah Lebuhraya Persekutuan menghala ke Shah Alam.

“Bagi mengelakkan kesesakan tersebut, laluan kontra akan dibuka bermula dari simpang tiga Temasya Kasih hingga ke bangunan Palm Grove dengan jarak laluan dua lokasi tersebut adalah kira-kira 350 meter,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Baharudin berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa tempoh masa penutupan jalan dan pembukaan laluan kontra itu dijangka selama 25 hari bagi membolehkan kerja-kerja membaik pulih selesai dilakukan.

“Sepanjang tempoh berkenaan, bantuan rondaan daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dan pihak MRT akan dilakukan bagi menilai tahap kesesakan lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk memandu secara berhemah, patuhi isyarat lalu lintas dan berhati-hati semasa melalui laluan kontra tersebut,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya