Lagi ingkar jarak fizikal - Utusan Malaysia

Lagi ingkar jarak fizikal

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 196 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam dengan kesalahan tertinggi melibatkan tiada jarak fizikal sebanyak 119 kes.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 191 individu dikenakan kompaun manakala lima lagi direman.

Kata beliau, kesalahan lain ialah tidak memakai pelitup muka sebanyak 21 kes, gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (15), aktiviti pusat hiburan (13) dan lain-lain kesalahan sebanyak 28 kes.

“Operasi Benteng semalam menangkap 31 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan merampas sembilan kenderaan darat selain 116 buah bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui 14 aktiviti penglihatan manakala dua PATI turut diusir melalui satu aktiviti pengusiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 562 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

Katanya, secara kumulatifnya, sejak 24 Julai tahun lalu, seramai 179,083 individu pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 78 hotel dan sembilan institusi lain dan daripada jumlah itu, seramai 7,782 individu dikuarantin, manakala 169,827 pula dibenarkan pulang serta 1,474 lagi dibawa ke hospital.

Menurut beliau, pemantauan serta pemeriksaan oleh anggota Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan adalah stabil dan mencukupi.

“Semalam, KPDNHEP membuat 793 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan terdiri daripada peruncit (611), pemborong (150) dan pengilang (32) selain melakukan 2,036 pemeriksaan khas dan mendapati semua premis mematuhi SOP,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, seramai 688 warga asing menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu semua negatif Covid-19.

Katanya, seramai 685,687 pekerja warga asing menjalani ujian saringan setakat ini melibatkan 35,367 majikan dan 10,222 daripadanya disahkan positif. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN