Kutipan sisa domestik 1,200 tan setiap hari seluruh Pahang - Utusan Malaysia

Kutipan sisa domestik 1,200 tan setiap hari seluruh Pahang

SHARUDIN HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang menganggarkan kutipan sisa pepejal domestik seluruh negeri ini di sepanjang Ramadan sebanyak 1,200 tan setiap hari berbanding kira-kira 1,560 tan dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarahnya, Sharudin Hamid berkata, terdapat penurunan kutipan sisa domestik sebanyak 10 peratus berikutan aktiviti jual beli di bazar Ramadan adalah lebih terhad kerana masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Kebiasaan, kita akan menjangka sisa domestik ini meningkat antara 20 hingga 30 peratus setiap kali tibanya musim perayaan.

“Namun, pada tahun ini, kita dapati janaan sampah menurun sebanyak 10 peratus dan dalam masa sama kita juga terkejut dengan data baru yang diperoleh itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa bersama media anjuran Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) di Hotel Zenith di sini.

Sharudin berkata, pengurangan itu juga berlaku mungkin disebabkan gerakan kempen-kempen berkaitan pembuangan sisa lebihan makanan oleh pihaknya di semua bazar di seluruh negeri ini.

“Paling jelas ekoran prosedur operasi standard (SOP) di setiap bazar Ramadan telah menjadi faktor utama kepada penurunan jana sisa domestik ini.

“Kalau dulu, 100 peniaga akan menjalankan urus niaga di bazar,  tetapi kini  hanya separuh daripada jumlah itu sahaja yang berniaga.Jadi ini juga penyebab kurangnya sisa sampah di bazar.

“Sikap masyarakat yang semakin bijak dengan membeli mengikut keperluan juga sekali gus menyumbang kepada  pengurangan janaan sampah,” katanya.

Sementara itu, katanya, syarat ditetapkan bagi penganjur bazar untuk melantik kontraktor yang dilesenkan sahaja bagi kerja-kerja kutipan sisa domestik di bazar-bazar yang berdaftar.

“Cara seperti ini lebih memudahkan kita menjalankan pemantauan berkaitan janaan sisa domestik dari semasa ke semasa.

“Kita perlu tahu sisa-sisa itu dihantar ke mana dan memastikan diurus dengan baik, kebiasaannya  penganjur selalu membuang sampah di tong-tong sampah pusat kita sahaja.

“Kalau kita lihat di tapak pusat tong sampah banyak sisa daripada perniagaan seperti kelapa dan makanan berlebihan dibuang, sebab itu kita meletakkan syarat sedemikian kepada pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya