Kurangkan menteri, timbalan bantu situasi kewangan negara - Utusan Malaysia

Kurangkan menteri, timbalan bantu situasi kewangan negara

Akmal Nasrullah Mohd. Nasir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu memanfaatkan Proklamasi Darurat dengan mengurangkan bilangan menteri dan timbalan menteri yang tidak penting bagi membantu situasi kewangan yang menghimpit negara ketika ini.  

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Md. Nasir berkata, tindakan pengecilan itu turut melibatkan jawatan duta-duta khas yang tidak memberikan impak terhadap ekonomi negara buat masa ini.

Beliau memberikan pandangan tersebut susulan pengumuman terbaru Muhyiddin mengenai situasi kewangan negara selain meminta penjawat awam untuk berwakaf. 

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan, ditambah dengan situasi pandemik Covid-19 yang tidak menentu, apakah keperluan untuk Muhyiddin mengekalkan jumlah kabinet yang terlalu besar.

“Dalam situasi ini, tidak semua kementerian berfungsi dengan sebaiknya. Apatah lagi melantik menteri-menteri dalam kalangan Ahli Parlimen yang hanya bertujuan untuk mengekalkan kuasa. 

“Alangkah baik jika elaun dan gaji menteri yang mencecah puluhan ribu setiap seorang itu dapat dimanfaatkan bagi tujuan kebajikan rakyat berbanding meminta penjawat awam untuk berwakaf,” katanya di sini, hari ini. 

Isnin lalu, Perdana Menteri memberitahu bahawa satu inisiatif perlu dirangka di peringkat kerajaan Persekutuan untuk menggalakkan penjawat awam berwakaf, khususnya secara berkala melalui potongan gaji bagi meningkatkan tabungan dana dan aset wakaf negara.

Beliau berkata, tindakan itu antara empat perkara utama yang digariskan bagi memastikan instrumen wakaf dapat memainkan peranan penting dalam membantu ekonomi negara.

Sementara itu, Akmal Nasir yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nasional berkata, pengumuman mengenai situasi kewangan negara itu sudah diduga pelbagai pihak. 

Beliau berkata, meskipun Muhyiddin dikelilingi oleh ramai pakar ekonomi dan pakar kewangan, tidak ada satu idea pun yang dikemukakan oleh pakar untuk mengurangkan jumlah bilangan menteri dan timbalan menteri yang terlalu besar.

“Tidak dinafikan wakaf adalah suatu amalan yang mulia. Namun begitu, daripada mencadangkan penjawat awam mewakafkan gaji, lebih elok sekiranya gaji menteri, timbalan menteri, duta bertaraf menteri yang jumlahnya tidak munasabah diwakafkan. 

“Begitu juga dengan gaji pengerusi-pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tidak memberi sebarang impak kemajuan pun bagi tujuan membantu rakyat,” ujarnya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya