PUTRAJAYA: Kerajaan masih mengekalkan kuota minyak masak bersubsidi sebanyak 60,000 tan metrik setiap bulan bagi tempoh dua tahun walaupun harga RBD Palm Olien meningkat 83 peratus kepada RM4,122 per tan metrik tahun ini berbanding RM2,255 per tan metrik tahun lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi berkata, ini bersamaan dengan 60 juta paket polibeg 1 kilogram iaitu 1.5 kilogram diperuntukkan untuk setiap seorang rakyat di Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, kerajaan turut menambah peruntukan di bawah Skim Penstabilan Minyak Masak (COSS).
“Sekiranya harga RBD Palm Olien berterusan menunjukkan trend peningkatan, kerajaan menjangkakan kos terus meningkat bagi skim ini, daripada RM400 juta kepada RM1.8 billion.
“Oleh yang demikian, keputusan kerajaan mengekalkan kuota dalam program COSS menunjukkan komitmen tinggi kerajaan mengurangkan kos sara hidup serta menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi di Sarawak sebagaimana laporan berita sebuah agensi media yang dikatakan berpunca daripada tindakan syarikat pembungkus yang tidak jujur dalam membekalkan minyak masak bersubsidi mengikut kuantiti ditetapkan bagi edaran ke pasar raya dan kedai runcit.
Alexander berkata, bahagian penguat kuasa kementerian sentiasa menjalankan pengauditan secara komprehesif untuk memastikan setiap pengeluaran minyak masak bersubsidi dapat diterima di setiap rantaian pengedarannya.
Katanya, susulan pengauditan dan tindakan tegas dalam menangani ketirisan pengedaran minyak masak bersubsidi, sebanyak 318 kes direkodkan di seluruh negara melibatkan minyak masak sejak 2016 sehingga Mac lalu.
Malah katanya, dalam tempoh tersebut, sebanyak empat syarikat pembungkus minyak masak diambil tindakan dengan kuota diberikan kepada mereka sebelum ini dibatalkan.
“Terdapat 11 pembungkus minyak masak bersubsidi dibawah COSS di Sarawak dengan kuota berjumlah 3,067 metrik tan.
“Semakan rekod juga mendapati sebanyak 25 aduan berkaitan minyak masak di Sarawak pada tahun lalu sehingga 31 Mac lepas. Sejumlah 4,221 pemeriksaan dibuat ke atas premis-premis menjual minyak masak sehingga 12 April lalu dengan lapan kes direkodkan sepanjang tahun ini,” katanya.
Bagi isu gula pula Alexander berkata, pada dasarnya, harga jualan gula domestik adalah dikawal pada harga maksimum iaitu sebanyak RM2.85/kilogram bagi gula putih bertapis kasar dan RM2.95/kilogram bagi gula putih bertapis halus jualan secara runcit.
Beliau memberitahu, bagi harga jualan borong gula untuk kegunaan industri makanan dan minuman pula ditetapkan pada kadar RM2.77/kg bagi gula putih bertapis kasar dan RM2.85/kg bagi gula putih bertapis halus.
“Perbezaan pada harga gula yang lebih rendah boleh dinikmati syarikat pengeluar makanan dan minuman berdasarkan kuantiti dan kaedah pembelian yang dipersetujui dengan pembekal serta bergantung kepada harga gula mentah di pasaran dunia tanpa campur tangan kerajaan.
“Syarikat pengeluar makanan dan minuman serta pemborong tempatan boleh membuat permohonan untuk mendapatkan permit mengimport gula bertapis pada bila-bila masa sepanjang tahun,” katanya.
Bagaimanapun katanya, hanya permohonan memenuhi syarat akan dipertimbangkan Jawatankuasa Penilaian yang diwakili beberapa agensi kerajaan berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Lembaga Pelaburan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Kata beliau, dari segi kawalan ke atas kelulusan permit mengimport pula, pemantauan berterusan dilakukan terhadap penerima permit bagi mengelakkan penyalahgunaan dan penyelewengan.
“Kita menghargai kprihatinan dan cadangan yang diutarakan Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen berkaitan isu subsidi minyak masak satu kilogram dan gula ini.
“Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri di kementerian ini pasti amat memahami polisi kementerian berkaitan dua komoditi ini dan saya juga yakin Chieng Jen tahu bagaimana anggota penguat kuasa kementerian sentiasa berada di lapangan bagi membuat pemantauan dan memastikan bekalan minyak dan gula tidak terputus di pasaran,” katanya.