KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam mengukuhkan perpaduan dan kesatuan agar segala cabaran serta dugaan yang dihadapi dapat diatasi dengan jayanya.
Sultan Mizan bertitah, usaha membina silaturahim itu boleh dicapai menerusi medium solat berjemaah di masjid dan surau sama ada solat fardu mahupun solat sunat tarawih pada bulan Ramadan.
Titah baginda, bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan sejarah kemenangan dalam perjuangan umat Islam, bermula dengan Perang Badar sehinggalah ke pembukaan kota Mekah.
“Kemenangan itu adalah hasil daripada jati diri umat Islam yang teguh, berpegang kuat kepada agama Allah SWT dan perpaduan yang sangat kukuh.
“Walaupun usaha mencapai perpaduan merupakan satu perjalanan yang jauh dan sukar, namun sekiranya kita membetulkan niat dan memperkasakan usaha ke arah itu InsyaAllah, akan menjadi kenyataan,” titah baginda dalam perutusan Ramadan di laman Facebook Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sini hari ini.
Sultan Terengganu turut mengajak seluruh umat Islam di negeri ini agar menunaikan ibadah zakat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebagai tanda prihatin kepada nasib golongan yang memerlukan.
Di samping itu, baginda menyeru umat Islam memperbanyakkan rasa syukur kepada Allah dan menghayati nikmat Ramadan pada tahun ini,
“Akhirnya beta menyeru agar kita bersama-sama memperbanyakkan ibadah di bulan ini dan semoga Ramadan kali ini menjadi yang terbaik untuk kita di samping segala amalan diterima oleh Allah SWT,” titah baginda. -UTUSAN ONLINE