KUALA PILAH: Kerajaan negeri komited menjadikan daerah Kuala Pilah sebagai destinasi pelancongan baharu di negeri ini terutama dengan kewujudan Perkampungan Budaya Terachi.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Kuala Pilah bukan sahaja terkenal dengan adat dan warisan malah mempunyai tarikan ekopelancongan seperti Hutan Rekresi Ulu Bendul dan Gunung Angsi.
“Di Perkampungan Budaya Terachi ini, masyarakat bukan sahaja dapat menikmati makanan tradisonal Kuala Pilah sebaliknya lokasi ini juga menjadi satu-satunya tempat khusus untuk aktiviti ‘ngoca’ bola sepak sawah.
“Penganjuran Pesta Mengoca (menangkap ikan di sawah dan Pesta Bola Ngoca akan diadakan di pada 11 hingga 12 September nanti selepas aktiviti tahunan yang sepatutnya dijalankan pada 2020 tertangguh akibat Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas program Santapan Tengah Hari bersama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di Perkampungan Budaya Terachi di sini hari ini.
Menurut Aminuddin, pengisian yang akan dilakukan selepas ini adalah bagi memastikan perkampungan budaya berkenaan dikenali orang ramai.
“Ini tapak pelancongan baharu, sekali gus mampu meningkatkan pendapatan penduduk.
“Usaha lain dibuat ialah aktiviti penanaman padi pulut yang dikenali sebagai ‘Padi Pulut Seri Menanti’ (satu tapak) dan padi biasa (tujuh tapak) yang akan diusahakan penduduk tempatan dan menjadi sumber pendapatan mereka,” katanya.
Sebanyak lapan kolam ngoca turut disediakan di bawah kawasan Skim Pengairan Terachi Batu 17 berkeluasan 5.6 ekar di Perkampungan Budaya Terachi di sini.
Aminuddin berkata, pelancong juga boleh mengunjungi lokasi bersejarah di Kuala Pilah seperti Istana Lama Seri Menanti selain rumah adat atau dikenali sebagai rumah telapak yang masih utuh.
Pada majlis tersebut, Tuanku Muhriz turut mencemar duli mengacau penganan atau dodol sebagai simbolik sambutan mantai yang diadakan di Negeri Sembilan bagi menyambut Ramadan. -UTUSAN ONLINE