Komuniti Felda sumbang RM101,788 dana wakaf tunai - Utusan Malaysia

Komuniti Felda sumbang RM101,788 dana wakaf tunai

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) menerima dana wakaf tunai dan sedekah daripada komuniti Felda yang disampaikan oleh Wan Mohd. Zamri Wan Yusof pada majlis penyerahan dana tersebut di Masjid Nurul Huda, Felda Chuping, Padang Besar, Perlis. - UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Komuniti Felda di negeri ini menyumbangkan dana wakaf tunai dan sedekah bernilai RM101,788 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Sebanyak RM36,788 disalurkan bagi tujuan pembinaan Pusat Autism Negeri Perlis (A-Heart) manakala RM65,000 pula disumbangkan untuk membeli karpet baharu bagi Masjid Nurul Huda, Felda Chuping.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pusat autism tersebut bakal dibangunkan oleh MAIPs dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dalam masa terdekat di atas sebidang tanah wakaf MAIPs di Utan Aji.

“Program ini pada asalnya merupakan ‘Program Sedekah RM300 komuniti Felda’ yang merupakan salah satu usaha pihak Felda untuk merubah (tranformasi) minda peneroka daripada penerima kepada pemberi.

“Ia bertepatan dengan falsafah MAIPs selaku Pemegang Amanah Tunggal Harta Wakaf, Nazar dan Amanah di Perlis untuk merubah mentaliti masyarakat ke arah komuniti minda kelas pertama.

“Ia juga bertujuan untuk menghidupkan budaya bersedekah khususnya ibadah berwakaf dalam kalangan peneroka Felda,” titah baginda pada majlis penyerahan dana tersebut di Masjid Nurul Huda, Felda Chuping di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Pengarah Wilayah Felda, Wan Mohd. Zamri Wan Yusof menyerahkan sumbangan tersebut kepada Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor dan imam Masjid Nurul Huda, Mohd Fitri Ahmad.

Menurut Mohd. Nazim, selain wakaf tunai untuk pembelian karpet baharu oleh komuniti Felda, pihak pengurusan agensi itu turut memberikan sokongan kewangan untuk menampung kos mengecat bangunan masjid tersebut yang berjumlah RM15,200.

Tambahnya, program wakaf MAIPs-Felda itu bakal melibatkan seramai 857 orang peneroka di Perlis dan setiap seorang digalakkan untuk menyumbang sebanyak RM300 atau mengikut kemampuan masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya