Kompaun RM10,000 berjaya turunkan kes - Utusan Malaysia

Kompaun RM10,000 berjaya turunkan kes

ADHAM Baba (tengah) menyampaikan sumbangan sara hidup kepada sebahagian penduduk sempena Program Malaysia Prihatin Oleh Menteri Kesihatan di Perkarangan Masjid Jamek Bandar Tangkak, Johor. - UTUSAN/NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK: Pelaksanaan kompaun berjumlah sehingga RM10,000 yang dikuatkuasakan kerajaan sebelum ini dilihat membantu melandaikan lekuk kes harian Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kes harian di negara ketika itu berjaya mencatatkan angka penurunan hasil kompaun yang dikeluarkan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebelum ini ketika pelaksanaan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan dengan kompaun RM10,000, kita akui jumlah kes memang menunjukkan penurunan.

“Sekarang ini kita menggunakan kaedah mendidik dan menegur selain mengeluarkan kompaun. Kuasa telah diberikan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sekarang ini selain daripada polis, Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Imigresen untuk mengeluarkan kompaun.

“Untuk itu satu langkah tegas kita laksanakan dengan tiga kategori bagi mereka yang masih degil melanggar SOP membabitkan kompaun RM10,000, RM5,000 dan RM1,500,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Malaysia Prihatin Oleh Menteri Kesihatan yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Aman Rabu di Masjid Jamek, Bandar Tangkak di sini.

Sebelum ini kerajaan telah mewartakan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 bagi penguatkuasaan kompaun RM10,000 kepada individu yang melanggar SOP sepanjang tempoh PKP.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan kemudian memaklumkan kerajaan menetapkan tiga kategori kesalahan bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) berhubung Garis Panduan Penetapan dan Pengurangan Nilai Kompaun mengikut tiga kategori kesalahan itu ialah tinggi, sederhana dan normal.

Mengikut garis panduan itu, kompaun turut dihadkan kepada kadar tertentu mengikut jenis kesalahan, selain penetapan diskaun berdasarkan tempoh bayaran dibuat.

Dalam pada itu, mengulas perkembangan peningkatan kes di Sarawak, Kementerian Kesihatan akan memobilisasi 430 kakitangan bantuan ke negeri itu bagi memenuhi keperluan 1,430 kakitangan.

“Sarawak kita tahu ada peningkatan kes dan kita telah mobilisasi 430 staf bantuan dan terkini Kelantan juga menunjukkan peningkatan kes dan kita juga telah mula menghantar kakitangan ke sana,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya