TANGKAK: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor akan terus mengenakan kompaun kepada peniaga yang masih ingkar dengan arahan meskipun selepas diberi notis atau peringatan sebanyak dua kali.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Johor, Mohd. Hanizam Kechek berkata, sebanyak 18 kompaun bernilai hampir RM2,000 dikeluarkan hasil Op Pantau sejak 13 April lalu di negeri ini.
“Selama lebih seminggu dilaksanakan, 18 kes meliputi peniaga di bazar Ramadan, bazar hari raya, pasar awam, pasar basah, pasar raya besar, pasar raya , pasar mini dan kedai runcit telah dikenakan kompaun.
“Kompaun ini dikeluarkan ke atas peniaga yang degil iaitu mereka telah menerima notis atau teguran sebanyak dua kali namun masih ingkar. Selepas kali kedua, KPDNHEP akan bertindak tegas dengan memberikan denda sebagai teguran terakhir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan pematuhan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di Pasaraya NSK, Tanjung Agas, di sini, hari ini.
Menurut beliau, 37 notis pula dikeluarkan dalam Op Pantau atas kesalahan berkaitan bekalan, harga jualan, penjualan barang tiruan dan pelbagai lagi yang tertakluk di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.
“Selain itu, ada juga peniaga berdepan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972 dan Akta Jualan Langsung dan Skim Piramid (AJLSAP) 1993.
“Justeru, kita mohon semua peniaga patuh dengan arahan dikeluarkan termasuklah pelaksanaan harga mengikut SHMMP. Pengguna diminta untuk membuat aduan secara terus kepada kami sama ada melalui sistem e-aduan di laman rasmi kementerian atau hubungi talian 1-800-886-800 mahupun berhubung di aplikasi WhatsApp di nombor 019-279 4317,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, KPDNHEP Johor akui berpuas hati dengan pematuhan peniaga terhadap pelaksanaan SHMMP pada hari pertama ia dikuatkuasakan.
Bagaimanapun katanya, pemantauan akan terus dilaksanakan di seluruh negeri ini bagi memastikan hak pengguna terus terpelihara. – UTUSAN ONLINE