IPOH: Pegawai dan anggota polis diingatkan agar sentiasa mengikut garis panduan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum mengeluarkan kompaun ke atas mereka yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tindakan kompaun adalah berdasarkan tiga kategori iaitu serius, sederhana dan ringan dengan membabitkan nilai kompaun yang berbeza.
Katanya, setakat ini di Perak, tiada pihak yang telah dikenakan kompaun maksimum berjumlah RM50,000.
“Kita telah beri peringatan untuk mereka keluarkan kompaun mengikut kategori ditetapkan. Jika kesalahan itu di bawah kompaun RM10,000, maka kita keluarkan kompaun RM10,000, begitu juga kalau kesalahan itu mengikut kategori kompaun RM50,000.
“Setakat ini di Kontinjen Perak, belum ada lagi pihak yang melakukan kesalahan sedemikian (hingga dikenakan kompaun RM50,000),” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Singgah Sahur Ketua Polis Perak anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sekatan jalan raya (SJR) Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini hari ini.
Pada program itu, Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) menyerahkan 100 beg barangan kepada petugas barisan hadapan di Balai Polis Jelapang, Tambun dan Simpang Pulai serta SJR Tol Jelapang, Ipoh Utara, Simpang Pulai dan Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.
Mengulas lanjut Mior Faridalathrash berkata, rakyat negeri ini diminta terus akur kepada arahan pihak berkuasa dengan tidak melakukan perbuatan yang melanggar SOP hingga boleh dikenakan tindakan.
Katanya, meskipun kadar pematuhan SOP dalam kalangan rakyat adalah 96 peratus namun masih terdapat segelintir yang ingkar iaitu mana sebanyak 120 kompaun telah dikeluarkan sejak 1 April hingga kelmarin.
“Begitu juga bagi rentas negeri, saya mahu ingatkan semua orang bahawa kita masih lagi mengetatkan pergerakan rentas negeri.
“Jadi, jangan ada mana-mana individu yang cuba untuk merentas kerana kita akan ketatkan kawalan di setiap SJR dan sekiranya kita jumpa, tindakan tegas akan diambil termasuk dikenakan kompaun dan diarah berpatah balik,” katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mahu merentas daerah untuk pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri juga disaran memaklumkan ketiadaan mereka kepada pihak polis bagi tujuan pemantauan.
“Tinggalkan pesan di balai polis berhampiran atau maklumkan melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP),”katanya. – UTUSAN ONLINE