Kira-kira 2,000 penduduk rimas diganggu lalat - Utusan Malaysia

Kira-kira 2,000 penduduk rimas diganggu lalat

AZMAN Nasrudin (kiri) menunjukkan sebahagian lalat pada pelekat perangkap lalat di Kampung Padang Lembu, Gurun, Kedah. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GURUN: Kerajaan negeri mengarahkan empat ladang ternakan ayam di sekitar Kampung Padang Lembu di sini mematuhi peraturan ternakan unggas berikutan aduan lebih 2,000 penduduk mengenai gangguan lalat di kediaman mereka menimbulkan rasa tidak selesa.

Pengerusi Jawatakuasa Pertanian Industri Makanan, Perusahaan Perladangan Komoditi dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, Azman Nasrudin berkata, pihaknya mendapati lalat yang menimbulkan suasana tidak selesa penduduk di kampung itu berpunca daripada empat buah ladang ayam yang diusahakan secara terbuka di sekitar perkampungan tersebut.

“Saya telah mengarahkan pengusaha ladang ayam terbabit mematuhi syarat di bawah Enakmen Perladangan Unggas Negeri Kedah untuk keselesaan penduduk berhampiran.

“Pada masa sama, pihak berkuasa akan membuat pemantauan berkala untuk memastikan pengusaha ladang ayam itu mematuhi arahan tersebut,” katanya selepas mengadakan dialog bersama penduduk kampung berkenaan, semalam.

Peniaga kedai makan, Ai Pian Lim Ai Choi, 58, berkata, pendapatannya terjejas selepas jumlah pelanggan berkurangan disebabkan premisnya terlalu banyak lalat.

Katanya, masalah semakin serius pada musim hujan, selain masalah bau busuk dan meloyakan.

“Pelanggan tidak selesa makan di kedai saya kerana lalat terlalu banyak dan mengganggu makanan yang dihidang,” katanya semalam.

Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Ah Peng, 40, berkata, kebanyakan penduduk di sini terpaksa tidur dalam kelambu kerana tidak mahu diganggu serangga itu.

Katanya, dia tidak dapat tidur dengan lena sekiranya tidak memasang kelambu disebabkan lalat menghurung badan.

“Malah penduduk juga terpaksa menutup tingkap dan pintu rumah pada setiap masa untuk menghalang lebih banyak lalat masuk ke dalam rumah sehingga mengganggu kehidupan seharian,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya