Ketua Menteri arah Bazar Hang Tuah ditutup - Utusan Malaysia

Ketua Menteri arah Bazar Hang Tuah ditutup

SULAIMAN Md. Ali (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Projek Pembangunan PKNM di Bilik MMKN di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali meminta pihak penganjur Bazar Ramadan Jalan Hang Tuah menutup tapak jualan itu susulan lokasi tersebut tidak mendapat sambutan dan dipandang sepi oleh golongan peniaga.

Beliau berkata, pihaknya juga telah meminta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memindahkan tiga peniaga yang berdaftar ke lokasi lain bagi mengelak menanggung kerugian.

“Perkara ini dalam pengetahuan saya dan kalau betul tiada peniaga, bagi saya, eloklah kita buka semula khemah itu (tutup), tak cantik dibiarkan nampak kosong dan suram, malah, mungkin akan menimbulkan spekulasi lain.

“Memandangkan sewaan khemah biasanya dicaj mengikut hari, pada saya, lebih baik penganjur buka lebih awal daripada menanggung lebih banyak kerugian dan saya juga meminta pihak MBMB untuk membantu mana yang boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Projek Pembangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) di Bilik Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Seri Negeri di sini, hari ini.

Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan, hanya terdapat tiga peniaga daripada 100 khemah di Bazar Ramadan Jalan Hang Tuah yang pernah diiktiraf terbesar di negeri ini.

Kawasan tersebut ibarat padang jarak padang terkukur apabila khemah yang didirikan itu kosong dan hanya menjadi tempat meletak kereta.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas lanjut khabar angin yang mendakwa kononnya berlaku penipuan antara pihak penganjur dengan penjaja yang menyebabkan bazar tersebut kosong, beliau menafikan perkara tersebut.

“Penganjur bukan tipu tetapi Jalan Hang Tuah ini memang ada sejarahnya. Apabila bazar lebih besar dibuka di tempat lain seperti contoh Klebang yang mempunyai lebih ramai pengunjung, jadi peniaga-peniaga pun ingin berniaga di kawasan yang lebih besar.

“Penganjur Bazar Jalan Hang Tuah ini baru pertama kali anjurkan dan niatnya nak menolong peniaga, tetapi, mungkin tidak begitu mengenali ketua penjaja di kawasan berkenaan membuatkan ia tidak mendapat sambutan,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN