PUTRAJAYA: Kestabilan harga barangan yang dikawal perlu diselaraskan bagi memastikan bukan sahaja pengguna tetapi peniaga boleh menikmatinya pada harga lebih munasabah.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, semua pihak perlu mematuhi arahan ditetapkan kerajaan bagi memastikan bekalan ayam dan barang-barang yang dikawal berada pada paras mencukupi.
Beliau berkata, pada masa sama, KPDNHEP juga ingin memastikan bahawa terdapat kestabilan dari segi harga kerana bukan sahaja pengguna boleh menikmati harga lebih munasabah tetapi para peniaga juga dapat memperoleh manfaat sama memandangkan sebahagian barang itu dibeli oleh peniaga.
“Jadi sekiranya harga ini tidak stabil, peniaga pun tidak dapat tetapkan harga. Mungkin harga di bazar Ramadan hari ini RM5, mungkin dua hari lagi RM7 atau RM9 sekali gus menyusahkan ramai pihak.
“Justeru, salah satu objektif Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 adalah untuk pastikan harga barangan yang terpilih berada pada tahap stabil bagi tempoh-tempoh tertentu,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya, hari ini.
Sementara itu, Hasnol Zam Zam berkata, hanya dua aduan diterima pada hari pertama pelaksanaan SHMMP di seluruh negara yang membabitkan harga ayam.
Menurutnya, ia melibatkan pemeriksaan ke atas 2,100 premis perniagaan termasuk pasar raya kedai runcit, mini pasar raya dan premis pemborang.
“Kita akan jalankan siasatan ke atas dua aduan yang diterima dan mana-mana peniaga yang dikesan tidak mematuhi harga kawalan diberikan nasihat untuk mematuhinya.
“Kita faham ini hari pertama perubahan harga bagi peruncit dan sebagainya, jadi beri ruang semua pihak ambil masa untuk patuhi SHMMP yang telah ditetapkan,” katanya.
Terdahulu Hasnol Zam Zam bersama anggota penguatkuasa KPDNHEP turut melakukan tinjauan pematuhan harga barangan di Pasar Awam Presint 8, dekat sini pagi tadi. – UTUSAN ONLINE