Kesalahan jenayah polis tidak disiasat JIPS - Utusan Malaysia

Kesalahan jenayah polis tidak disiasat JIPS

ZAMRI YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) tidak terlibat dalam proses siasatan dan pendakwaan membabitkan pegawai dan anggota polis yang didapati melakukan kesalahan jenayah, rasuah dan dadah.

Namun begitu, JIPS mempunyai kuasa untuk menangkap pegawai dan anggota yang didapati terlibat dalam kes jenayah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat jabatan berkaitan untuk siasatan lanjut dan seterusnya proses pendakwaan di mahkamah.

Memberitahu kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Datuk Zamri Yahya berkata, siasatan tatatertib perlu dijalankan JIPS terhadap pegawai dan anggota yang terlibat dalam kes jenayah bagi menjalankan penyiasatan dari sudut pelanggaran disiplin, tatatertib dan salah guna kuasa.

“Bagaimanapun, siasatan JIPS tidak mencampuri atau mengganggu siasatan yang dijalankan oleh jabatan lain dalam PDRM atau agensi lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Contohnya seperti kes Geng Nicky Liow baru-baru ini, siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor dan apabila selesai, barulah JIPS akan mulakan tindakan bagi menyiasat sama ada wujud salah guna kuasa atau kesalahan tatatertib terhadap pegawai dan anggota berkaitan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mengulas lanjut, Zamri berkata, proses tindakan tatatertib melibatkan dua peringkat iaitu siasatan oleh JIPS terhadap laporan serta pelanggaran disiplin melibatkan keterangan dan pengumpulan bukti.

Katanya, peringkat kedua adalah bagi menentukan jenis prosiding tindakan oleh pihak berkuasa tatatertib sama ada untuk tujuan buang kerja, turun pangkat atau lain-lain hukuman.

“Sebuah Lembaga Tatatertib (LTT) perlu dilantik dalam prosiding buang kerja atau turun pangkat yang biasanya terdiri daripada tiga pegawai bagi meneliti tuduhan serta hasil siasatan JIPS dalam kertas siasatan bagi menjatuhkan hukuman setimpal.

“Bagi pegawai berpangkat Asisten Superinteden ke atas, Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) selaku pihak berkuasa tatatertib akan bersidang dan menentukan hukuman yang akan dijatuhkan.

“LTT yang dipengerusikan oleh Ketua Polis Negara dan Timbalannya serta dua ahli lain pula mempunyai kuasa untuk membuang kerja mereka yang berpangkat Inspektor manakala bagi anggota dan konstabel melibatkan LTT yang diketuai oleh Asisten Komisioner Polis serta dua ahli berpangkat Superintenden,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Zamri, bagi kes-kes tidak melibatkan buang kerja atau turun pangkat, prosiding tatatertib bagi menentukan hukuman terhadap anggota dan konstabel boleh dijalankan oleh seorang pegawai berpangkat Inspektor ke atas.

Katanya, seorang Asisten Komsioner yang dilantik pula boleh memutuskan hukuman yang boleh dijatuhkan kepada pegawai berpangkat Inspektor.

“Ketua Polis Negara dan Timbalannya pula akan menentukan hukuman terhadap pegawai berpangkat Asisten Superintenden ke atas.

“Hukuman ini biasanya daripada amaran, denda potong gaji sehingga lucut hak emolumen dan serta mempunyai tempoh edah masa tertentu di mana mereka yang telah dijatuhkan hukuman tidak layak bagi kenaikan pangkat atau menghadiri kursus rasmi,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya