PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam terus naik kepada 420 individu ditahan berbanding 314 individu dicekup kelmarin dan 295 individu diberkas Selasa lalu.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 417 dikompaun manakala tiga lagi direman dengan kesalahan tertinggi ialah tidak mematuhi penjarakan fizikal.
Kesalahan tersebut ujar beliau, merekodkan sebanyak 188 kes diikuti gagal merekodkan butiran diri atau daftar masuk premis (162), tidak memakai pelitup muka (48) dan lain-lain (22).
“Sembilan orang pendatang asing tanpa izin (PATI) turut ditahan melalui Operasi Benteng selain sebanyak 170 buah bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan dengan perairan negara kita melalui 12 aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, seramai 1,013 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya dikuarantin dengan 7,222 individu masih lagi menjalani proses itu.
Jelasnya, seramai 1,722 individu terbabit dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 180,524 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.
Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melakukan sejumlah 1,816 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan kesemua premis terlibat didapati mematuhi peraturan. -UTUSAN ONLINE