Kes ingkar SOP naik, ramai ditahan tidak jaga jarak - Utusan Malaysia

Kes ingkar SOP naik, ramai ditahan tidak jaga jarak

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam naik mendadak dengan 158 individu diberkas berbanding 72 individu ditahan kelmarin.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 131 dikompaun manakala 27 direman dengan kesalahan tertinggi ialah gagal jaga jarak fizikal sebanyak 49 kes.

Jelasnya, ini diikuti kesalahan lazim lain iaitu gagal merekod butiran diri atau daftar masuk di premis (31), tidak memakai pelitup muka (17), aktiviti pusat hiburan (tujuh) dan lain-lain (54) yang ditahan Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis melalui 63,809 pemeriksaan melibatkan penugasan sejumlah 3,317 pasukan di seluruh negara.

“Selain itu, lapan orang pendatang asing tanpa izin (PATI) diusir melalui Op Benteng semalam
selain 97 buah bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” tegasnya melalui kenyataan.

Lapan buah kenderaan darat juga disita manakala 270 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan dan baki 50 lagi oleh polis.

Terdahulu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan selama tempoh 14 hari bermula esok hingga 2 Mei ini susulan kes meningkat secara mendadak yang dilaporkan Kementerian Kesihatan.

Ismail Sabri berkata, sehingga kini, 396 ujian saringan dilakukan dan daripada jumlah berkenaan, sebanyak 43 kes positif Covid-19 baharu direkodkan.

Beliau berkata, PKPD di lima perkampungan di Hulu Besut, Daerah Besut, Terengganu yang dijadualkan tamat pada Selasa ini, dilanjutkan selama tujuh hari lagi hingga 27 April ini melibatkan kawasan Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru, Kampung Keruak, Kampung Pak Sik dan Felcra Keruak kerana masih ada penularan berterusan.

“Setakat ini, Kementerian Kesihatan melaksanakan 2,038 ujian saringan dan daripada jumlah tersebut, secara kumulatif sebanyak 103 kes positif wabak berkenaan direkodkan,” jelasnya.

Pihak kementerian mendapati masih ada 309 baki sampel sedang menunggu keputusan sejak PKPD dilaksanakan pada 7 April lalu ekoran jangkitan daripada satu majlis keramaian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya