PETALING JAYA: Kertas siasatan berhubung majlis perkahwinan usahawan dan selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd. Noor dan suaminya, Haris Ismail atau dikenali PU Riz diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya sudah mencadangkan supaya kompaun dikeluarkan terhadap pasangan terbabit.
Bagaimanapun, katanya, ia bergantung kepada Timbalan Pendakwa Raya sama ada akan mendakwa atau sebaliknya.
“Kami sudah serahkan kertas siasatan. Polis memberi cadangan untuk dikompaun.
“Penganjur acara serta ahli keluarga selebriti berkenaan didapati tidak menjaga penjarakan fizikal juga dicadang dituduh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, polis membuka kertas siasatan melibatkan majlis pernikahan Neelofa dan PU Riz selepas tular gambar yang didakwa tidak menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Beberapa individu termasuk pekerja hotel serta Neelofa dan PU Riz diambil keterangan bagi membantu siasatan.