Kereta buat pusingan U rempuh pelajar - Utusan Malaysia

Kereta buat pusingan U rempuh pelajar

MUHAMMAD ASYRAF Ramli maut ditempat kejadian selepas motosikal ditunggangi dirempuh sebuah kereta di Jalan Bukit Katil-Duyong, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pelajar Kolej Vokasional Melaka Tengah maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh sebuah kereta di Jalan Bukit Katil-Duyong di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Asyraf Ramli, 20, yang menunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Rakannya, Muhammad Norazlysham Abd. Rasid, 20, mengalami pendarahan dalaman di kepala dan kini mendapatkan rawatan di zon merah Hospital Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, ketika kejadian, mangsa dan rakannya yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z dalam perjalanan dari arah lampu isyarat Masjid Bukit Katil menuju ke Tanjung Minyak Perdana.

“Sebelum kejadian, terdapat sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun telah berhenti di kiri jalan dan cuba membuat pusingan U.

“Pada masa sama, pemandu tersebut tidak menyedari kehadiran motosikal ditunggangi dua sahabat itu menyebabkan berlaku rempuhan. Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambahnya, pembonceng turut mengalami kecederaan parah di kepala, manakala pemandu kereta mengalami luka di kepala dan dirawat di zon kuning hospital sama.

“Kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal merupakan pelajar Kolej Vokasional Melaka Tengah.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya