Kerajaan perlu tetapkan harga siling - Utusan Malaysia

Kerajaan perlu tetapkan harga siling

SALAHUDDIN Ayob (tiga dari kanan) ketika meninjau harga ayam dan daging di Pasar Awam Larkin di Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan digesa menetapkan harga siling terhadap barangan kawalan termasuk ayam dan daging lembu tempatan agar tidak berterusan melambung tinggi sehingga membebankan pengguna.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perkara itu perlu dilakukan segera setelah mendapati harga ayam dan daging berterusan meningkat sejak dua minggu lalu.

Katanya, tinjauan yang dibuat di Pasar Larkin, di sini hari ini mendapati, harga ayam dijual pada RM9.20 sekilogram dan dijangka terus meningkat menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Tidak mustahil harga ini terus meningkat kepada RM10 sekilogram menjelang Hari Raya Aidilfitri sekiranya tidak ada kawalan harga dan penetapan harga syiling dibuat.

“Harga sedia ada sekarang pun sudah cukup tinggi dan membebankan rakyat. Tinjauan harga daging lembu tempatan dan daging import serta daging kambing juga melonjak naik.

“Oleh itu, kementerian (Pertanian dan Industri Makanan) perlu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkongsi sumber dapatan bagi mengeluarkan cadangan harga barang kawalan dapat dikawal,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau harga barang kawalan bersama Pengerusi Pakatan Harapan Johor, Aminolhuda Hassan di Pasar Larkin, di sini hari ini.

Salahuddin berkata, ketika dia masih bergelar menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), kementeriannya mampu mengawal harga ayam antara RM7 hingga RM7.50 manakala harga daging lembu tempatan antara RM30 hingga RM35 sekilogram.

Katanya, lebih membanggakan, harga itu dikawal bagi tempoh sebulan iaitu dua minggu sebelum dan dua minggu selepas perayaan utama di negara ini pada 2019.

Jelasnya, pelaksanaan dan penguatkuasaan harga barang kawalan terkawal dapat dijalankan secara efisien dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Jadi, jangan berikan alasan mengapa ia tidak dapat dilaksanakan. Saya juga berharap kerajaan memandang serius isu ini dan menteri yang bertanggungjawab mengambil langkah proaktif memastikan pengguna tidak lagi terbeban.

“Menteri seharusnya mengadakan pertemuan dengan pembekal ayam dan daging lembu tempatan supaya mendengar pandangan mereka berhubung isu berkenaan.

“Pastinya pengguna menantikan pengumuman oleh pihak kementerian yang menguntungkan mereka dalam masa terdekat. Jika tidak, pengguna terus menjadi mangsa dalam hal ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya