Kerajaan negeri sedia RM200,000 setiap kampung baiki paip air bukit - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri sedia RM200,000 setiap kampung baiki paip air bukit

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri menyediakan peruntukan maksimum RM200,000 bagi membaiki sistem saluran paip dari kolam tadahan air bukit di setiap kampung yang mempunyai kemudahan tersebut di daerah Sik dan Baling.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk membaiki segala kerosakan yang terdapat pada sistem perpaipan dan saluran air bukit di kawasan terlibat.

“Kerajaan bersetuju membaiki sistem paip air masyarakat yang terjejas. Kita akan memperuntukkan maksimum RM200,000 bagi membaiki serta menyelenggara paip air masyarakat setiap kampung terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di di sini, semalam.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi tidak menyatakan jumlah kampung yang terlibat di kedua-dua daerah itu.

Dalam pada itu, beliau menambah, masalah bekalan air yang keruh dan berselut dihadapi penduduk yang menggunakan air kolam tadahan dari bukit merupakan perkara biasa yang berlaku setiap kali musim hujan.

Jelasnya, bekalan air masyarakat itu sebenarnya tidak keruh dan berselut pada setiap hari.

“Kebiasaannya penduduk kampung akan membuat kutipan bagi mengupah individu tertentu untuk membersihkan kolam tadahan tersebut daripada sampah serta selut.

“Kalau tidak selenggara, memanglah paip itu tersumbat dengan selut dan sampah menyebabkan benda-benda itu turun ke paip,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan keadaan itu berpunca daripada aktiviti pembalakan yang sedang berjalan di situ.

“Mungkin jugalah kesan daripada aktiviti pembalakan yang diluluskan sebelum ini,” katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan perbalahan mengenai bekalan air mentah di Sungai Muda perlu diketepikan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kedah bagi mengelakkan rakyat menjadi mangsa.

Perbalahan itu tidak mendatangkan manfaat ketika ramai penduduk khususnya di Kedah masih memerlukan fokus daripada kerajaan bagi mengatasi masalah air.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) merangkap Sekretariat Sahabat Ulu Muda (FOuM), R. Meenakshi berkata, ketika perdebatan panas berlaku antara kedua-dua negeri, air dari hulu Sungai Muda terus terancam berikutan kegiatan pembukaan hutan, pembalakan dan perlombongan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN