Kerajaan negeri puas hati tugas penguat kuasa KPDNHEP

Kerajaan negeri puas hati tugas penguat kuasa KPDNHEP

NAZRI Ngah (tengah) sedang membuat melihat harga ikan ketika melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa di Pasar Raya Econsave, Bandar Jerantut di Jerantut, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kerajaan negeri berpuas hati dengan tugas penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memantau serta membendung aktiviti peniaga dan peruncit yang cuba memanipulasikan harga barang.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, pemantauan dan pemeriksaan terus digiatkan di pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk memastikan tiada aktiviti mengaut keuntungan dalam kalangan peniaga di bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri. 

Katanya, peniaga sewajarnya lebih beretika serta bertanggungjawab mematuhi arahan penetapan harga barang dalam tempoh ini sekali gus keselesaan bagi pengguna khususnya ketika negara masih berdepan dengan ancaman pandemik Covid-19.

“Ada juga rungutan dan laporan tentang kenaikan harga ayam menjelang bulan Ramadan, tetapi berjaya ditangani oleh penguat kuasa KPDNHEP dan keadaan kembali pulih setelah pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP). 

“Walaupun jualan stabil, KPDNHEP perlu melancarkan SHMMP untuk menyekat kenaikan harga barang semasa bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri di samping mendidik peniaga lebih beretika,” katanya selepas pelancaran SHMMP di Pasar Raya Econsave di Bandar Jerantut, di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Pengarah KPDNHEP Pahang, Normaswari Nordin dan Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris. 

SHMMP yang dilancarkan di seluruh negara bermula 21 April lalu hingga 20 Mei ini membabitkan penetapan harga maksimum (terkawal) 11 jenis barang yang terbahagi kepada empat kategori, iaitu ayam, telur ayam, daging dan hasil laut.

Nazri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar juga memberikan peringatan kepada peniaga supaya mengelakkan daripada mengaut untung dengan menaikkan harga sesuka hati ketika permintaan pengguna meningkat tempoh ini di samping kerajaan masih lagi berdepan usaha memerangi penularan wabak Covid-19.

Sehubungan itu, katanya, pengguna juga tidak perlu panik berbelanja kerana barang keperluan menjelang Aidilfitri mencukupi dan boleh didapati di semua pasar raya dan peruncit di tempat masing-masing.

“Sekiranya berlaku kekurangan barang keperluan dan wujud aktiviti mengaut untung dalam kalangan peniaga, orang ramai atau pengguna perlulah melaporkan segera kepada penguat kuasa di lima buah pejabat KPDNHEP berdekatan atau portal [email protected],” katanya.

Dalam pada itu, katanya bagi tempoh Januari hingga kini, KPDNHEP telah menjalankan pemeriksaan sebanyak 18,781 buah premis seluruh Pahang dan dari jumlah tersebut sebanyak 345 kes rampasan bernilai RM274,114, kompaun sebanyak RM89,000.

“Pejabat KPDNHEP negeri dan cawangan daerah juga menerima 230 aduan pelbagai kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Akta Antipencatutan 2011 dan Antipencatutan 2018 sehingga ini cuma 211 aduan telah selesai disiasat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN