KOTA TINGGI: Dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang digunakan kerajaan adalah untuk menyelamatkan suasana negara ketika ini yang berdepan dengan pandemik Covid-19.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, dana daripada tabung itu hanya digunakan sedikit kerana negara sekarang berada dalam keadaan kecemasan.
Bagaimanapun, menurut beliau, dana berjumlah RM3 bilion yang dibentang dan diluluskan dalam Parlimen sebelum ini untuk pembelian vaksin bagi 80 peratus rakyat Malaysia itu didapati tidak boleh menjamin keadaan negara untuk kembali pulih.
“Jadi, kita kena bagi juga pekerja asing atau orang asing yang ada di Malaysia (dengan kos) tambahan RM2 bilion. Ekoran itu, untuk selamatkan suasana negara, kita pakailah sedikit duit tabung (KWAN). Nanti ia akan diisi balik.
“Duit tabung yang digunakan adalah untuk kecemasan dan yang betul-betul cemas dan Covid-19 adalah satu kecemasan bukan hanya di Malaysia tetapi satu dunia berdepan keadaan ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bakul Makanan di Taman Sinar Sedili, di sini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain; Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh dan Pengurus Besar Kejora, A. Jalil Md. Arsad.
Terdahulu, kerajaan telah meluluskan pindaan ke atas Akta KWAN 1988 (Akta 339) yang membolehkan dana daripada kumpulan itu digunakan bagi tujuan pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan berhubung vaksin.
Ini berdasarkan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 yang berkuat kuasa Rabu lalu melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang disiarkan Jabatan Peguam Negara.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Abdul Latiff berkata, pihak Kejora akan meneliti semula berkenaan hak milik rumah di Taman Sinar Sedili yang turut dilawati beliau dalam program tersebut.
“Saya terkejut apabila ada perkampungan tersusun di sini, tetapi, mereka tidak ada empunya hak. Jadi, bila sudah lama tinggal di sini mereka rasa mereka mampu untuk mempunyai rumah sendiri.
“Maka, kena fikirkan bagaimana, proses agak panjang tetapi tetap boleh dibuat agar rumah ini boleh dibeli atau sewa beli kerana kita juga perlu melihat isu-isu tanah di sini yang sangat berkait dengan kerajaan negeri,” katanya.
Tambahnya, seiring pelan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang mahu orang muda di kampung tidak keluar ke bandar, maka, sesuatu perlu dilakukan untuk ‘mengikat’ golongan tersebut.
Jelasnya, sekiranya golongan muda tidak mempunyai rumah, mereka harus dibantu termasuklah menyediakan skim rumah mampu milik berharga RM100,000 ke bawah dan perkara itu akan dinilai oleh kementerian untuk dilaksanakan. -UTUSAN ONLINE