PETALING JAYA : Kerajaan berusaha untuk melaksanakan kelayakan pengundi 18 tahun seperti mana pindaan peruntukan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan pada masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu telah dibincangkan dan disahkan dalam Mesyuarat Kabinet semalam dan akan diusahakan agar pelaksanaanya sejajar pindaan perlembagaan yang dipersetujui secara sebulat di Parlimen secara dwipartisan itu dapat dilaksanakan.
Katanya, susulan keputusan tersebut, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil langkah segera menyelesaikan beberapa perkara lagi berkaitan peruntukan undang-undang tertentu dan juga perkara teknikal termasuk memperkemas kini sistem perisian yang diperlukan.
“Kerajaan amat komited untuk melaksanakan umur Kelayaan Pengundi 18 tahun sebagaimana pindaan kepada peruntukan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada 2019.
“Adalah jelas melalui ketetapan yang dibuat ini menunjukkan betapa kerajaan beriltizam untuk memberi peluang kepada golongan muda yang berumur tidak kurang 18 tahun menjadi pemilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mahupun dalam mana-mana Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SPR sebelum ini memaklumkan untuk menangguhkan pelaksanaan undi 18 (Undi18) dan pendaftaran automatik sehingga 1 September tahun depan.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.
Secara tidak langsung, katanya, situasi sedemikian menjejaskan perancangan dan persiapan SPR menjayakan pendaftaran pemilih automatik serta undi 18, yang sebelum ini sepatutnya dijangka dilaksanakan Julai depan.
Dalam pada itu, Takiyuddin memaklumkan kerajaan yakin SPR sentiasa bersiap sedia dengan pelbagai persiapan menguruskan proses pilihan raya daripada segi logistik, sumber manusia serta penyesuaian berhubung Prosedur Operasi Standard (SOP) selaras dengan norma baharu pengendalian pilihan raya ekoran penularan Covid-19 di negara ini. – UTUSAN ONLINE