Keputusan laksana SHMMP terlalu awal gusarkan peniaga - Utusan Malaysia

Keputusan laksana SHMMP terlalu awal gusarkan peniaga

SALAH seorang peniaga daging memotong bekalan itu untuk dijual di Pasar Awam Maharani di Muar, Johor. -UTUSAN/NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Keputusan kerajaan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 berkuat kuasa Rabu iaitu hanya dalam tempoh kurang 10 hari Ramadan menggusarkan sebahagian peniaga yang terlibat.

Dakwa mereka, penetapan kawalan harga yang dilaksanakan terlalu awal berbanding tahun sebelum ini yang secara tidak langsung boleh memberikan kesan terhadap sumber ekonomi masing-masing.

Bagi seorang peniaga daging, Muhammad Izan Abdul Satar, 29, berkata, keadaan ekonomi yang tidak stabil telah menyebabkan pelbagai barangan runcit mengalami inflasi dan sekaligus turut menghimpit kumpulan peniaga yang terjejas.

“Saya faham SHMMP ini baik untuk pelanggan, namun, kesannya adalah kepada peniaga. Kami tak boleh naikkan harga sesuka hati, namun, harga barang di luar sana pula melambung tinggi.

“Saya harap, selain dari barangan yang termasuk dalam senarai SHMMP ini, kerajaan juga dapat mengawal semua harga barang lain di luar sana. Ia lebih mudah dan mampu membela nasib kami sebagai peniaga kecil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Muhammad Izan yang telah 11 tahun berniaga daging segar termasuk di pasar malam sekitar daerah ini berkata, dia kini turut menjual bekalan segar itu dari rumah ke rumah sejak pandemik Covid-19 melanda bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Pelaksanaan SHMMP itu tak salah sebab saya dari dulu pun patuh pada kawalan harga yang ditetapkan setiap kali menjelang musim perayaan. Cuma, kali ini lebih berat sikit sebab barang banyak naik harga, tapi barangan kami kena patuh harga rendah.

“Justeru, saya harap kerajaan dapat mainkan peranan dalam memastikan nasib kami serta pengguna terbela, ia termasuklah mengawal kenaikan harga semua barangan lain sama ada bahan mentah atau barang peralatan sekali pun,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga ayam di Jalan Sungai Abong, di sini, Mohd. Fatah Hassan, 53, berkata, dia berharap kerajaan turut memberikan perhatian terhadap kumpulan pemborong agar tidak menaikkan harga sesuka hati.

“Kita pun risau kalau harga dari pemborong boleh ‘menjerut leher’ sedangkan peniaga terpaksa jual dengan kadar ditetapkan. Kalau harga mereka munasabah, kita juga mampu menjual ayam dengan harga rendah.

“Malah, kalau pemborong meletakkan harga yang jauh lebih murah, peniaga juga bersedia menjual pada harga runtuh sebab kita pun nak bantu pelanggan nikmati barangan mentah dengan kadar berpatutan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya