ARAU: Kenyataan Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menyifatkan menteri daripada parti itu yang tidak berani meletak jawatan sebagai pengecut dan dianggap tidak setia kepada parti serta suara akar umbi adalah bersifat peribadi.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pendirian UMNO ketika ini adalah menteri perlu bertahan sehingga pilihan raya.
Katanya, pada masa ini, tidak ada sebarang arahan UMNO yang menyuruh menteri daripada parti itu berhenti.
“Itu pandangan peribadi, pandangan UMNO kita bertahan sampai pilihan raya. Tetapi kalau nak ubah sekarang supaya berhenti, tidak mengapalah.
“UMNO kata sokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sampai pilihan raya, pasal apa nak ubah cakap,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan wanita UMNO di Pusat Khidmat Kubang Gajah di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Mohamed Nazri menyifatkan menteri UMNO yang tidak berani meletak jawatan sebagai pengecut dan dianggap tidak setia kepada parti dan suara akar umbi.
Pendapat bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu turut senada dengan amaran seorang pemimpin tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap pemimpin UMNO yang menggertak atau mengugut untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN.
“Saya sokong sepenuhnya seruan Datuk Rosol Wahid (ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu) supaya menteri, timbalan menteri UMNO letak jawatan tanpa letak syarat.
“Kenapa nak cakap kalau disuruh baru nak berhenti? Berhenti sahaja tanpa syarat, tidak susah. Kena dengar suara akar umbi,” kata Nazri kepada sebuah portal berita baru-baru ini.
Mengulas lanjut Shahidan berkata, cerita-cerita seperti itu hanya merugikan masa kerana pilihan raya lambat lagi.
“Kenapa hendak cakap perkara masa pilihan raya, pilihan raya pun tidak tahu bila. UMNO kata sekarang sokong kerajaan PN sampai pilihan raya,” katanya.