Kenaikan harga dedak naik di peringkat global, di luar kawalan kerajaan - Utusan Malaysia

Kenaikan harga dedak naik di peringkat global, di luar kawalan kerajaan

RONALD Kiandee (tengah) mengacau bubur lambuk sebagai juadah berbuka kepada kakitangannya pada Majlis pengagihan bubur lambuk kementerian itu di Wisma Tani, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kenaikan harga komponen makanan haiwan ternakan seperti soya dan jagung import yang meningkat ketika ini sehingga memberi kesan kepada harga ayam semasa adalah disebabkan oleh peningkatan harga makanan itu di pasaran dunia.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Ronald Kiandee berkata, peningkatan harga itu adalah di luar kawalan negara dan memberi kesan terhadap rantaian bekalan daripada peringkat penternak sehingga pengguna.

“Kenaikan harga makanan haiwan ini sudah berlaku empat hingga lima bulan lalu dan Kementerian Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga mengambil langkah bagi menetapkan harga ayam RM6.80 sekilo melalui Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 yang dilancarkan semalam, ” katanya ketika program pengagihan bubur lambuk kementerian itu sempena Ramadan di sini hari ini.

Pada program itu, sebahagian bubur lambuk tersebut juga akan dijadikan menu Iftar kementerian berkenaan bersama 50 pelajar Tahfiz Maahad Darul Muqri Rawang dan Maahad Tahfiz Addirasah Seremban.

Sementara itu, Kiandee berkata, pemain industri perlu mematuhi harga kawalan yang ditetapkan dan pengawalan harga juga perlu dibuat dalam rantaian industri ini.

“Semalam, kementerian ini dan KPDNHEP juga mengadakan perjumpaan bersama pemain industri untuk mengambil tindakan bagi mengatasi masalah harga runcit ayam,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengenai cadangan dikemukakan Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid agar kerajaan menambah permit import (AP), Ronald menjelaskan bahawa apa jua keputusan perlu dibincangkan di peringkat dasar agar menguntungkan industri secara keseluruhannya.

Menyentuh masalah kelewatan bekalan benih padi di utara Semenanjung, Kiandee berkata, masalah itu akan diselesaikan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dalam masa terdekat.

“Nafas turut mencadangkan penukaran 50 hingga 60 peratus varieti MR297 kepada varieti MR219 bagi menampung keperluan benih padi sah semasa.

“Sekiranya cadangan penukaran benih padi ini dipersetujui, penghantaran akan diatasi dalam tempoh seminggu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN