Kempen keselamatan p-hailing bantu kurangkan kes kemalangan - Utusan Malaysia

Kempen keselamatan p-hailing bantu kurangkan kes kemalangan

WEE Ka Siong beramah mesra bersama penunggang P-Hailing selepas Majlis Kempen Keselamatan Penunggang P-Hailing di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Polis Diraja Malaysia (PDRM), kira-kira dua pertiga kes kematian penunggang motosikal adalah membabitkan kumpulan p-hailing.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, sebanyak 7,525 kes kemalangan jalan raya dilaporkan iaitu 2,576 kes kematian membabitkan penunggang motosikal.

“Daripada 2,576 kes kematian penunggang motosikal itu, dua pertiga adalah mereka yang berkhidmat dalam p-hailing.

“Apa yang menyedihkan, kemalangan tersebut turut meragut nyawa penunggang muda yang kebanyakannya mereka berkhidmat dalam p-hailing,” katanya pada majlis pelancaran kempen Kempen Keselamatan Jalan Raya P-Hailing, di sini hari ini.

Dalam menangani kes yang boleh meragut nyawa itu, Ka Siong berkata, kementeriannya melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya P-Hailing dan berharap dapat membantu mengurangkan kes kemalangan dan insiden kematian membabitkan kumpulan itu pada masa depan.

Katanya, kementerian juga mendapati berlaku trend pendaftaran sehingga 200 penunggang baharu p-hailing setiap hari yang kini merekodkan lebih 100,000 orang terbabit sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam perkhidmatan p-hailing ini di seluruh negara.

Ka Siong berkata, kebanjiran kumpulan ini di jalan raya turut mengundang kontroversi apabila sering dikaitkan dengan pelanggaran peraturan lalu lintas dan kemalangan jalan raya.

Menurutnya, kajian dilakukan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) pula mendapati kira-kira 70 peratus penunggang p-hailing didapati kerap melakukan kesalahan lalu lintas ketika menghantar makanan dan barangan.

“Antara kesalahan yang kerap dilakukan termasuk berhenti di petak kuning, melanggar lampu merah dan menggunakan telefon mudah alih ketika menunggang,” katanya.

Justeru, katanya, beliau berharap kempen ini dapat mendidik tingkah laku penunggang p-hailing ke arah mengamalkan budaya menunggang yang selamat dan berhemah.

Ka Siong berkata, beliau juga menasihatkan penunggang p-hailing supaya mendaftar dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaaan Sendiri 2017.

“Dengan kadar caruman RM13.10 sebulan atau RM157.20 setahun, pelbagai faedah perubatan, faedah hilang upaya kekal dan faedah orang tanggungan dapat dinikmati sekiranya terbabit kemalangan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya