PETALING JAYA : Kemasukan pelaburan asing ketika era pemerintahan Barisan Nasional (BN) tetap tinggi meskipun sering ‘dibantai’ oleh pembangkang pada waktu itu.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan, perkara berkenaan dibuktikan apabila pelaburan asing tetap konsisten tinggi malah mencatat sejarah apabila antara paling tinggi di ASEAN semasa beliau menjadi Perdana Menteri.
Sehubungan itu, katanya, dakwaan sesetengah pihak bahawa pelabur asing tidak masuk ke negara kerana kerajaan sering ‘dibantai’ termasuk dirinya adalah tidak munabah.
“Pelaburan asing tetap konsisten tinggi, malah paling tinggi dalam sejarah serta antara paling tinggi di ASEAN pada masa kerajaan BN dibantai oleh pembangkang tiap-tiap hari sehingga Najib digelar kleptokrat, pembunuh dan penyangak malah negara digelar muflis. Demonstrasi besar-besaran sering dianjurkan mereka.
“Pembangkang dengan Tun Dr Mahathir Mohamad siap bekerjasama dengan George Soros, media dan kerajaan asing untuk bantai kerajaan BN masa itu. Ingat kerajaan BN masa saya PM (Perdana Menteri) tidak dibantai ke?,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Semalam Ahli Parlimen Arau merangkap Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim meminta Najib memberi pandangan positif bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara dan jika sebaliknya, para pelabur akan tidak masuk.
Kenyataan Shahidan itu bagi menjawab persoalan ditimbulkan Najib iaitu mengapa UMNO dan BN masih berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dikritik kerana gagal menguruskan ekonomi dan Covid-19 dengan baik sehingga wujud gerakan tanda pagar #kerajaangagal di dalam kalangan orang ramai.
Justeru kata Najib para pelabur adalah dilihat tidak berminat melabur di negara ini kerana tidak suka kerajaan tidak stabil, tidak kompeten dan tidak dipilih rakyat.
Tegasnya, mereka juga tidak suka tindakan kerajaan yang berbelanja tidak mengikut kelulusan Parlimen dan sering melanggar had hutang di samping tidak mengikut amalan demokrasi serta perlembagaan digantung. – UTUSAN ONLINE