GEORGETOWN: Ahli keluarga remaja orang kurang upaya (OKU) fizikal, Iznur Hakim Mohd. Nor, 21, yang cedera di bahagian muka akibat diserang dan dipukul pemandu Suzuki Swift dengan topi keledar Khamis lalu, mahu membawa perkara tersebut ke muka pengadilan.
Kakak sulung mangsa, Izzati Haswani, 26, berkata, pihaknya akan menuntut keadilan yang setimpal dengan kejadian menimpa adik bongsunya daripada tiga beradik itu biarpun si pelaku dilaporkan maut dalam kejadian kemalangan.
Katanya, ini berikutan kecederaan yang dialaminya adiknya memberi kesan mendalam kepada bentuk fizikal dan mental remaja tersebut.
“Akibat kejadian itu, adik kini terpaksa menanggung kesakitan di bahagian muka iaitu cedera pada kedua-dua mata, patah tulang hidung, gigi, bibir serta hidung berjahit. Mukanya juga masih bengkak.
“Dia juga dijangka menjalani satu pembedahan pada bawah mata tetapi perkara tersebut masih dalam peringkat perbincangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Izzati yang mesra disapa sebagai Wani memberitahu, keadaan adiknya kini stabil dan masih dalam pemantauan pakar di Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Kakak mana yang sanggup melihat keadaan adik yang sebegini. Dia ada mengadu sakit pada bahagian muka akibat kesan pukulan bertubi-tubi dengan topi keledar,” katanya.
Menurutnya, keluarganya kini menyerahkan kepada polis bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kes tersebut sekali gus mengharapkan kerjasama yang baik daripada semua pihak terlibat.
Khamis lalu, suspek yang juga pemandu kereta Suzuki Swift berusia 30 tahun itu dilaporkan maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Tengah-Bayan Baru, kira-kira pukul 2.50 petang.
Sebelum kemalangan, suspek dikatakan bertindak menyerang dan memukul seorang remaja OKU di Sungai Tiram dalam kejadian pada pukul 2.30 petang. – UTUSAN ONLINE