JOHOR BAHRU: Ibu kepada dua anak yang berstatus orang kurang upaya (OKU) bergelut dengan masalah kewangan bagi membesarkan anak yang memerlukan penjagaan rapi.
Lebih terbeban apabila anak bongsunya yang baru berusia setahun tujuh bulan menghidap penyakit epilepsy yang menyebabkannya kerap diserang sawan.
Menurut Nor Azifa Othman, 37, anak lelakinya, Mohd. Farhan Imran Mohd. Fauzi pernah diserang sawan lapan kali sehari hingga menyebabkan terpaksa dikejarkan ke hospital swasta berhampiran.
“Pernah sekali dia pernah tidak sedarkan diri dan badannya berubah kebiru-biruan. Panik dengan keadaan itu, cepat-cepat saya membawa dia ke hospital dengan menaiki Grab untuk mendapatkan rawatan.
“Saya runsing dengan keadaannya, walaupun sudah mendapat rawatan dan diberikan ubat, keadaan tetap sama dan masih diserang sawan hingga kini.
“Keadaan dia sukar dijangka. Ada masa kita ingat dia dah baik sebab selama sebulan tidak diserang sawan tetapi tiba-tiba dalam masa sehari dia boleh jadi sawan lebih daripada sekali,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek perumahan Rakyat (PPR) Uda Utama, di sini hari ini.
Suri rumah itu berkata, apabila anaknya perlu dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, dia tiada pilihan meninggalkan anak keduanya, Mohd. Faiz Irfan Mohd. Faiz, 12, yang berkerusi roda keseorangan di rumah.
“Ada masanya kami akan meminta tolong jiran tetangga menengokkan anak yang terlantar di atas kerusi roda di rumah. Ada masa juga suami akan pulang sekejap ke rumah untuk menukar lampin dan memberinya makan,” katanya.
Jelasnya, pendapatan suami, Mohd. Fauzi Haron, 46, sebagai penghantar barang sebanyak RM800 tidak mencukupi untuk menampung keperluan dua beradik yang memerlukan susu khas serta lampin pakai buang dianggarkan berjumlah RM460 sebulan.
Katanya, itu tidak termasuk perbelanjaan buat anak sulungnya, Fatin Nor Azwani, 13, yang bersekolah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di negeri ini.
“Mujurlah untuk Faiz Irfan yang sudah mempunyai kad OKU mendapat bantuan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan jumlah keseluruhan RM1,000.
“Syukur juga pada bulan Ramdan ini ramai jiran tetangga yang berikan kami makanan sebagai juadah berbuka. Jika tidak, kami terpaksa mengikat perut dan makan mi segera sahaja.
“Terima kasih juga kepada pihak Econsave yang memberikan sumbangan lampin, susu formula serta barangan dapur bagi meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.
Orang ramai yang ingin meringankan beban Nor Azifa boleh menyumbang ke akaun bank Bank Simpanan Nasional atas namanya bernombor 0113541100018447. -UTUSAN ONLINE