Keluarga angkat cari ibu kandung Chinta Tiara Leona - Utusan Malaysia

Keluarga angkat cari ibu kandung Chinta Tiara Leona

ROSLI Md. Salleh (kanan) dan Zarinawati Zainal Abidin menunjukkan salinan laporan polis berkenaan anak angkat mereka, Chinta Tiara Leona (tengah) ketika ditemui di Felda Chemplak, Labis di Johor. -UTUSAN/FARAHWAHIDA AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LABIS: Suami isteri resah memikirkan masa depan anak angkat mereka sekiranya usaha menjejaki waris kanak-kanak berusia lapan tahun itu tidak berhasil, sekali gus menyukarkan proses pendaftaran dokumen pengenalan diri kanak-kanak tersebut.

Rosli Md. Salleh, 50, dan isteri, Zarinawati Zainal Abidin, 54, kini sedang mencari waris kepada Chinta Tiara Leona yang dalam jagaan mereka apabila ibu kandung kanak-kanak tersebut dipercayai telah kembali ke Indonesia sejak lapan tahun lalu.

Zarinawati berkata, dia mengambil Chinta ketika berusia tujuh hari daripada kakaknya yang menyerahkan kanak-kanak perempuan itu di kediamannya di Felda Chemplak, Labis pada awal Januari 2013.

“Sewaktu mengambil Chinta, kakak saya disahkan menghidap barah otak. Namun, atas sifat perikemanusiaan, dia sanggup menerima Chinta sebelum meninggal dunia pada 2 September 2014,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Felda Chemplak, di sini.

Kakak Zarinawati mengambil Chinta dari ibu kandungnya, Kaspa Elpita Karo ketika wanita itu yang berusia 22 tahun dan beragama Islam beralamat terakhir di No. 5472, Jalan 8/38B, Taman Seri Sinar, Segambut, Kuala Lumpur.

Chinta telah dilahirkan di Klinik Mesra Batu Caves kira-kira pukul 3.20 pagi pada 3 Januari 2013.

Menurut Zarinawati, arwah kakaknya ketika itu tinggal di sekitar Klang, Selangor telah didatangi oleh Kaspa Elpita dan menyerahkan Chinta yang ketika itu baru berusia beberapa hari.

“Selepas itu, arwah kakak tidak dapat menghubungi ibu kandung kanak-kanak perempuan itu lagi. Kini timbul pelbagai kesulitan dan masalah bagi urusan rasmi melibatkan Chinta terutama bab persekolahan kerana pihak berkaitan memerlukan pengesahan daripada waris.

“Pelbagai usaha telah dilakukan bagi mengesan ibu kandung Chinta, namun, menemui jalan buntu termasuk membuat laporan polis di Segamat berkaitan penyerahan Chinta dari arwah kakak kepada kami,” katanya.

Sementara itu, Chinta juga kini masih tidak bersekolah walaupun telah berusia lapan tahun oleh kerana masalah dokumentasi dan pengesahan waris kandung.

“Jadi, saya berharap dapat selesaikan dokumen penyerahan anak angkat ini demi masa depannya untuk didaftarkan secara rasmi sebagai anak angkat kami,” rayunya.

Sehubungan itu, pasangan itu merayu orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai ibu kandung Chinta untuk segera menghubungi mereka menerusi talian 011-2302 2297. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya