Kelas tuisyen RM1 bantu calon UPSR dari keluarga susah - Utusan Malaysia

Kelas tuisyen RM1 bantu calon UPSR dari keluarga susah

RAZRUL Anwar Rusli (bersama dengan murid yang akan mengikut kelas tuisyen RM1 di Pusat Komuniti Bijak Larkin mulai Rabu ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Akibat penularan pandemik Covid-19 di negara ini sejak awal tahun lalu, sesi persekolahan tidak dapat berjalan lancar dan perkara ini menjadi kebimbangan dalam kalangan ibu bapa yang khuatir anak mereka ketinggalan dalam pelajaran di usia muda.

Melihat masalah yang berlaku itu, Pusat Komuniti Bijak Larkin terpanggil mengadakan kelas tuisyen RM1 bagi setiap sesi pembelajaran mata pelajaran bahasa Inggeris dan Matematik mulai Rabu kepada bakal calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi tahun 2021.

Pengerusi Pusat Komuniti Bijak, Razrul Anwar Rusli berkata, kelas tuisyen yang mengenakan bayaran serendah RM1 bagi setiap subjek dan setiap sesi itu akan diadakan di pusat komuniti itu di Seri Anugerah, Jalan Langkasuka, Larkin, di sini.
`
Katanya, idea mengadakan kelas tuisyen ini bagi membantu meringankan beban keluarga berpendapatan rendah yang mahu anak mereka membuat persiapan bagi menduduki UPSR pada tahun ini.

“Akibat pandemik Covid-19 selama lebih setahun, ramai masyarakat terjejas sumber pendapatan manakala anak-anak pula tertinggal pelajaran kerana masih menyesuaikan diri dalam norma baharu.

“Oleh itu, kita terpanggil untuk membantu murid-murid terutama calon UPSR 2021 agar tidak ketinggalan dalam memantapkan pelajaran dengan kadar yuran yang sangat rendah iaitu RM1 bagi setiap kelas dan setiap subjek,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Razrul yang juga Timbalan Ketua Bersatu Johor Bahru memberitahu, kelas tuisyen itu diadakan pada setiap hari Rabu bermula minggu ini.

Katanya, kelas tuisyen yang mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik itu bermula dari pukul 8 hingga 10 malam dan sesi pembelajaran setiap subjek mengambil masa selama satu jam.

“Usaha yang dilakukan ini turut mendapat perhatian Datuk Wan Saiful Wan Jan yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menyumbang 30 set kerusi dan meja untuk kegunaan semasa.

“Kami cukup terharu dan berterima kasih kepada Wan Saiful atas keperihatinan beliau yang menyumbang keperluan tersebut menggunakan duit poketnya sendiri bagi menjayakan kelas tuisyen ini,” ujarnya.

Katanya, setakat ini, seramai 12 orang murid telah mendaftar diri bagi menyertai kelas tuisyen berkenaan.

Pusat tuisyen ini akan dikelolakan oleh tiga orang tenaga pengajar masing masing dari lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelajar universiti tempatan.

“Sebarang pertanyaan pendaftaran baru boleh hubungi Pusat Komuniti Bijak di talian 012-791 2474 atau Cikgu Mas Azlina di nombor 012-724 7457,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya