KOTA BHARU: Kerajaan negeri membatalkan penganjuran bazar Ramadan dan Aildilfitri tahun ini, susulan kes Covid-19 yang melonjak ketara di seluruh negeri ini sejak beberapa hari lalu.
Pembatalan tersebut diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin menerusi hantaran terbaharu di akaun Facebook rasmi beliau tengah hari ini.
Menurut Dr. Izani, program Madinah Ramadan juga dibatalkan dan lokasinya ditukar menjadi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) sebagai salah satu ikhtiar membendung penularan pandemik tersebut.
Madinah Ramadan adalah program tahunan melibatkan solat tarawih berjemaah, berbuka puasa dan bersahur beramai-ramai, penyampaian sumbangan kepada fakir miskin, tazkirah serta bicara keilmuan.
Berdasarkan rekod, Kelantan mencatatkan sebanyak 171 kes Covid-19 semalam dan berada di kedudukan ketiga tertinggi di peringkat kebangsaan selepas Sarawak dan Selangor.
Dalam masa sama, satu kluster baharu dicatatkan iaitu Kluster Bandar Baharu Kubang Kerian yang membabitkan penyebaran pandemik di tempat kerja di sekitar daerah Tumpat, Bachok dan Kota Bharu.
Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob membenarkan bazar Ramadan beroperasi sepanjang bulan puasa ini dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat iaitu jumlah kapasiti penjual dan pembeli yang bersesuaian dengan lokasi sesebuah bazar.
Antaranya sebuah gerai hanya dibenarkan melayan dua orang pelanggan pada satu-satu masa. – UTUSAN ONLINE