‘Kekalkan tapak niaga kami’ - Utusan Malaysia

‘Kekalkan tapak niaga kami’

SEBAHAGIAN 41 peniaga di Tapak Penjaja Serangkai 1 mengadakan perhimpunan aman memohon untuk terus berniaga di tapak sedia ada di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, Johor. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Peniaga di Tapak Penjaja Serangkai 1, Taman Bukit Dahlia di sini memohon dibenarkan untuk terus beroperasi di tapak sedia ada dan tidak dipindahkan ke tapak baharu seperti arahan dikeluarkan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

Wakil peniaga, Effendi Saad, 38, memberitahu, mereka hanya dimaklumkan berhubung arahan perpindahan itu pada Selasa lalu untuk berpindah mulai 13 April ini.

Menurutnya, keengganan 41 peniaga untuk berbuat demikian adalah kerana lokasi baharu itu terletak di kawasan yang tidak strategik jika dibandingkan dengan lokasi sedia ada.

“Lokasi baharu itu juga berhampiran dengan tapak projek dan pastinya ini akan turut memberi kesan kepada kami kerana kami berniaga makanan.

“Selain itu, kawasan berkenaan juga berhampiran dengan tapak pembuangan sampah dan pastinya bau busuk di kawasan berhampiran akan membuat orang ramai enggan berkunjung ke sana,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Seorang lagi peniaga, Azlina Mazli, 46, pula berkata, mereka keliru dengan arahan perpindahan yang dibuat ketika bulan Ramadan hampir tiba kira-kira seminggu sahaja lagi.

“Pastinya kami berasa sedih, kerana perniagaan baharu sahaja hendak kembali pulih kerana pandemik Covid-19, namun ini pula yang berlaku.

“Jika perpindahan itu ke tempat yang lebih baik, lebih selesa mungkin kami dapat terima, namun, lokasi baharu ini tidak ubah seperti tempat ‘jin bertendang’, tiada orang yang melalui jalan tersebut,” jelasnya yang merupakan peniaga rojak.

Tambah Azlina, sebelum ini kesemua peniaga berkenaan berniaga di Jalan Sejambak 14, Taman Bukit Dahlia sebelum diarahkan berpindah ke lokasi tersebut pada tiga tahun lalu.

Sementara itu, Hishamuddin Hashim, 54, berkata, kesemua peniaga di tapak berkenaan sepakat untuk tidak berpindah kerana merasakan mereka menjadi mangsa keadaan.

“Alasan yang diberikan MBPG adalah pengurusan Nu Sentral meminta kami berpindah, namun, apabila peniaga bertanya sendiri kepada pengurusan, mereka mendakwa tidak berkata sedemikian.

“Semasa diarah berpindah ke sini tiga tahun lalu, kami akur dan perlahan-lahan cuba menarik kehadiran pengunjung, namun, kini, sekali lagi kami diarahkan berpindah ke lokasi yang tidak strategik pula.

“Tindakan ini pastinya akan menjejaskan pendapatan kami yang memang fokus pada perniagaan secara harian di sini,” kata peniaga nasi kerabu itu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya