PETALING JAYA: Pengurangan pembayaran berikutan kelewatan dan keadaan penghantar tidak mendapat rehat yang cukup supaya pendapatan harian tidak terjejas, dikatakan punca kemalangan jalan raya dalam kalangan penghantar p-hailing.
Prestasi penghantar ditentukan dengan jumlah penghantaran yang dilakukan selain menepati masa ditetapkan syarikat penghantaran adalah beberapa faktor yang patut diberi perhatian dalam menyelesaikan masalah kebanyakan mereka terlibat dalam kemalangan.
Tidak mahu memukul rata, Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Abdul Hakim Abdul Rani berkata, selain kecuaian golongan penghantar sendiri, kemalangan yang melibatkan golongan itu turut disebabkan beberapa faktor lain.
“Kita harus bercakap mengenai isu pendapatan golongan penghantar yang semakin lama semakin berkurang, namun mereka sudah tentu harus pastikan target harian mereka mendapat bayaran dicapai. Oleh itu, mereka mula mengejar masa.
“Ada juga beberapa syarikat penghantaran yang menetapkan masa untuk penghantaran dilakukan. Sekiranya tidak menepati masa itu maka prestasi mereka jatuh. Jadi, penghantar harus melakukan apa sahaja asalkan prestasi dan pembayaran mereka tidak terkesan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, kira-kira dua pertiga kes kematian dalam kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal adalah yang bekerja sebagai penghantar makanan dan barangan.
Kementerian Pengangkutan tmelancarkan kempen Keselamatan Jalan Raya P-Hailing dan berharap inisiatif itu dapat membantu mengurangkan kes kemalangan membabitkan kumpulan itu.
Abdul Hakim berharap kerajaan boleh meneliti mewujudkan pusat rehat yang dikhaskan untuk golongan penghantar.
“Di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) patut diwujudkan pusat rehat untuk golongan P-Hailing bagi memastikan kami mendapat rehat yang cukup.
“Kebanyakannya menghabiskan masa di atas jalan raya dari pagi sehingga malam. Perkara seperti ini boleh membuatkan kepekaan terjejas, jadi saya berharap tidak melampau untuk minta pihak kementerian membuat penelitian,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE