Kebun haram: Pejabat Hutan Daerah Raub guna parang tebang 5,300 pokok - Utusan Malaysia

Kebun haram: Pejabat Hutan Daerah Raub guna parang tebang 5,300 pokok

KAWASAN Hutan Simpan Sempam, Mukim Tras di Raub, Pahang yang diteroka secara haram untuk menanam pokok pisang, durian Musang King dan Duri Hitam seluas kira-kira 16.2 hektar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Sebanyak 5,300 pokok pisang, durian Musang King dan Duri Hitam dimusnahkan oleh Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub selepas ditanam secara haram di atas tanah seluas kira-kira 16.2 hektar di Kompartmen Satu, Hutan Simpan Sempam, Mukim Tras di sini.

Operasi bermula semalam itu dijangka mengambil masa selama empat hingga lima hari bergantung keadaan cuaca yang tidak menentu kini.

Sebanyak 4,000 pokok pisang dan 1,300 pokok durian jenis Musang King serta Duri Hitam ditebang menggunakan parang oleh anggota jabatan itu.

Pegawai Pejabat Hutan Raub, Shahril Mohamad berkata, siasatan mendapati kawasan terbabit diteroka dengan tanaman pisang jenis berangan dan sematu berusia empat bulan sementara durian Musang King dan Duri Hitam pula berusia tiga bulan.

Menurutnya, selain tanaman berkenaan, pihaknya meroboh sebuah pondok atau rumah kongsi sementara dipercayai tempat tinggal 10 hingga 15 pekerja ladang berkenaan yang bekerja dengan tiga individu.

“Sewaktu operasi, tiada kelibat pekerja ladang di situ dan kami percaya mereka terlebih dahulu bertindak meninggalkan tempat itu sebelum serbuan.

“Operasi bermula pukul 9 pagi semalam disertai oleh 14 kakitangan pejabat Hutan dibantu Unit Tindakan Khas (UTK) Raub dan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya di sini hari ini.

Shahril berkata, tiga individu dipercayai menjadi dalang meneroka kawasan berkenaan yang terletak di tengah Hutan Simpan Sempam yang mana mereka seolah degil serta cuba mencabar kerajaan negeri dan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

“Kita tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan individu yang bertindak menceroboh hutan simpan di daerah ini, tindakan tegas menanti mereka di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

“Kita akan terus berusaha mengesan kegiatan menceroboh hutan simpan di daerah ini, pelbagai cara akan digunakan bagi memastikan kesalahan itu dapat segera disekat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya