BALIK PULAU: Projek pemuliharaan dan pemeliharaan monumen di bulatan Jalan Balik Pulau di sini yang telah siap menimbulkan persoalan penduduk tempatan sama ada dilakukan mengikut spesifikasi dan reka bentuk asal monumen berkenaan.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Datuk Dr. Muhamad Farid Saad berkata, beliau menerima banyak rungutan daripada penduduk tempatan mengenai ‘kehilangan’ petunjuk arah angin beserta arca ayam yang terletak di atas puncak monumen berkenaan.
“Saya turut mengamati monumen yang telah siap ini, soalan saya sama dengan penduduk di sini, mana arca ayam berkenaan selepas projek ini siap?
“Seingat saya, dari kecil di mana saya berulang-alik ke Sekolah Rendah Kebangsaan St. George pada tahun 1969 hingga 1978, memang ada petunjuk arah angin dengan arca ayam berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Monumen itu dibina pada 1882 dan merupakan kawasan pancuran air untuk haiwan seperti kuda yang dimiliki oleh penjajah British serta menjadi mercu tanda bagi penduduk Balik Pulau.
Bagaimanapun, sejak tahun lalu, monumen berkenaan telah menjalani proses pemeliharaan dan pemuliharaan melibatkan kos hampir RM500,000 dengan seorang petender dilantik menerusi tender terbuka oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Menurut Muhamad Farid, struktur petunjuk arah angin serta arca ayam berkenaan pernah dicuri pada 2007, namun, beliau bersama wakil penduduk Balik Pulau telah meletakkan petunjuk arah angin yang baharu di situ.
“Sebelum monumen ini dinaik taraf, petunjuk arah angin masih ada, tetapi, selepas monumen ini siap dinaik taraf petunjuk arah angin ini telah hilang semula,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, penduduk Balik Pulau juga telah dimaklumkan monumen itu adalah untuk tarikan pelancong ke daerah berkenaan.
“Adakah dengan bergambar di depan monumen ini memberi gambaran berada di Balik Pulau atau berada di MBPP.
“Kerana hanya perkataan MBPP yang ada di situ, sepatutnya, nama Balik Pulau yang terpampang di monumen berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Utusan Malaysia cuba mendapatkan penjelasan daripada Datuk Bandar MBPP, Ar Yew Tung Seang mengenai isu berkenaan, namun, tiada maklum balas diterima setakat ini. -UTUSAN ONLINE