SHAH ALAM: Para peniaga menggesa kerajaan supaya mengawal harga barangan jualan ayam, daging dan makanan laut di peringkat pembekal terlebih dahulu.
Perkara itu diluahkan para peniaga yang ditemui di Pasar Moden Seksyen 16, di sini apabila mereka tidak mempunyai pilihan untuk menjual pada harga semasa walaupun menerima rungutan daripada pembeli.
Bagi peniaga ayam, Azli Sahamin, 49, berkata, harga barangan basah itu dijual pada RM9.50 untuk sekilogram dan dia terpaksa meletakkan harga tersebut walaupun ada pelanggan yang mempersoalkannya.
“Barangan yang dijual mengikut apa yang diterima daripada para pembekal. Jika kita terima harga rendah, sudah tentu kita jual lebih murah.
“Saya berniaga ayam sudah lama dan mendapati harga naik apabila tiba musim perayaan. Pengguna perlu tahu, bukan peniaga sewenang-wenangnya menaikkan harga tetapi kami sendiri dapat harga agak tinggi daripada pembekal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, seorang peniaga daging, Amran Tajuddin, 43, berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengikut saranan kerajaan terutama dalam pengawalan harga barang mentah ini.
Bagaimanapun, katanya, ‘orang atas’ perlu mengawal harga bekalan kerana jika pembekal sendiri memberikan harga yang tinggi, mustahil untuk para peniaga menjual pada harga yang ditetapkan oleh skim kawalani.
“Saya sendiri menjual daging pada harga RM30 sekilogram dan tulang (RM26 sekilogram). Saya tahu harga tulang ada yang mencecah sehingga RM30 sekilo dan daging juga sudah naik.
“Para pembekal sendiri yang menentukan harga dengan alasan bekalan terhad dan jika peniaga yang ditekankan untuk menjual harga mengikut skim tersebut, apa yang kami dapat,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang pengguna, Moryana Jamiun, 60, berharap harga barangan mentah tidak dinaikkan menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti berikutan ramai yang kehilangan pekerjaan ketika pandemik Covid-19 pada masa ini.
“Saya berharap agar harga jualan barang mentah terutama ayam, daging, santan dan sebagainya tidak naik menjelang hari raya nanti.
“Ramai orang baru hendak menyusun semula kewangan keluarga terutama mereka yang kehilangan pekerjaan ketika Covid-19 ini,” katanya.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semalam mengumumkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 akan dikuat kuasakan bermula 21 April hingga 20 Mei ini sebagai langkah menyekat kenaikan harga barangan keperluan semasa bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri pada 13 Mei ini.
Katanya, tempoh penguatkuasaannya selama 30 hari iaitu 22 hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan tujuh hari selepas hari perayaan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Sebanyak 12 jenis barangan bagi pelaksanaannya, manakala kategori barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam, daging dan hasil laut. – UTUSAN ONLINE